Thursday, November 28, 2013

Selangor tidak naikkan premium tanah

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan kerajaan negeri telah menaikkan kadar premium tanah, sebaliknya menegaskan kenaikan disebabkan perubahan nilai pasaran tanah itu sendiri.

Beliau mengakui harga semasa tanah di Selangor semakin meningkat setiap tahun dan ia adalah punca utama kenaikan kadar premium tersebut.
   
"Kadar premium tanah di Selangor sentiasa meningkat bukan kerana peratus pengenaan cukai tetapi nilai semasa harga tanah.
   
"Sebagai contoh harga tanah di Petaling Jaya dalam lima tahun lepas sehingga sekarang kenaikannya melebihi 100 peratus," katanya menjawab pertanyaan mulut Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai dasar penentuan premium tanah oleh kerajaan negeri.
   
Abdul Khalid berkata, kadar premium tanah negeri adalah mengikut jenis-jenis seperti ditetapkan mengikut Kaedah-kaedah Tanah Selangor 2003 (pindaan 2005) dan kadar pengiraan premium tanah adalah sama mengikut daerah tetapi berbeza mengikut kegunaan tanah.

Menjawab soalan tambahan daripada Gan Pei Nei (PKR-Rawang), Abdul Khalid berkata jika tanah yang dimiliki ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) bukan atas tujuan komersial, mereka boleh memohon kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan potongan pembayaran (kadar premium tanah) atas dasar kebajikan.
   
"Jika tanah itu bertujuan komersial, kita tidak boleh bagi diskaun sewenang-wenangnya, sebab kalau kita hendak bagi (diskaun), kita kena bagi kepada semua," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment