Sunday, January 12, 2014

Bersalin di rumah: Antara hak dan tanggungjawab


Pada dasarnya, setiap ibu yang mengandung sewajarnya mempunyai hak untuk membuat keputusan mengenai diri dan kandungannya dengan berdasarkan kepada kefahaman yang sahih. Pada masa yang sama, pengamal perubatan adalah orang yang paling sesuai dipertanggungjawabkan untuk membentuk kefahaman tersebut. Oleh itu, setiap ibu bertanggungjawab untuk mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan yang berhak untuk menentukan di manakah sempadannya apabila tiba masa untuk membuat keputusan. Firman Allah SWT, “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43). Hadith Rasulullah SAW, “Jika setiap urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kedatangan Hari Kiamat tersebut." [HR: Al-Bukhari 59, 6496; dari Abu Hurairah].

Namun demikian, zaman teknologi hari ini dimana dunia umpama sebuah kampung, semua pihak haruslah berwaspada apabila bersuara, khuatir isu ini menjadi sebahagian daripada himpunan polemik masyarakat yang tidak berkesudahan dengan suatu penyelesaian yang jelas apatah lagi konkrit. Sewajarnya kita berusaha untuk meningkatkan taqwa kepada Allah SWT dan berfikir sedalamnya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Perkara paling ditakuti dalam menghadapai isu sebegini adalah ia menimbulkan reaksi yang menjadi barah fitnah kepada kesucian Islam dan ketamadunan ilmu, serta lebih mendukacitakan apabila yang menjadi mangsanya adalah wanita dan zuriat manusia seluruhnya.

Perlu disedari, kebanyakan negara membangun terlibat dalam usaha Millenium Developmental Goal oleh Pertubuhan Bangsa Besatu di mana pengurangan kadar kematian ibu dan kanak-kanak adalah pengukur utama kemantapan sistem kesihatan sesebuah negara. Setakat ini, lebih-lebih lagi kebelakangan ini, negara kita masih belum berjaya untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Malah, dengan kes kematian yang berlaku baru-baru ini, kita wajar untuk kembali menilai di manakah silapnya serta apakah ruang dan peluang untuk mencari penyelesaiannya.

Walaupun dunia Islam hari ini dan masa lampau tidak pernah tandus dengan budaya keilmuan yang unggul, namun merujuk kepada isu bersalin di rumah, kita perlu insaf kerana belum banyak yang dapat dinukilkan daripada khazanah ilmuan Islam. Oleh itu, dengan semangat untuk mencari hikmah yang hilang, tulisan ini cuba untuk mengulas dengan rujukan dari sistem kesihatan di negara maju. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita boleh memilih untuk bersalin di rumah seandainya kandungan tersebut telah ditentukan oleh pengamal perubatan sebagai berisiko rendah, mendapat penjagaan kandungan yang sewajarnya serta wujud pelan kecemasan untuk memindahkan pesakit ke pusat rawatan yang lengkap, jika masalah timbul. American College of Obstetrician and Gynaecologist (ACOG) pula menyatakan bahawa hospital dan pusat bersalin adalah paling selamat namun menghormati hak wanita untuk membuat keputusan, setelah memahami penilaian oleh pengamal perubatan. Manakala, American College of Nurse Midwives dan American Public Health Association telah menggariskan polisi bersalin di luar hospital kepada ibu-ibu yang memenuhi kriteria tertentu.

Belanda adalah negara yang mempunyai kadar kelahiran terancang di rumah yang tertinggi di kalangan negara maju iaitu pada anggaran 30% daripada jumlah kelahiran,  walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 35% berbanding sedekad yang lalu. Antara ciri-ciri yang membolehkan ibu mengandung berisiko rendah di Belanda merancang untuk bersalin di rumah adalah:

1. Kewujudan bidan terlatih yang berupaya untuk mengenal pasti dan merawat komplikasi semasa bersalin di rumah, serta tahu bila untuk merujuk pesakit ke hospital. Bidan juga terlibat dengan penjagaan kesihatan sejak awal kandungan lagi.

2. Wujud konsensus di kalangan profession pengamal perubatan dari pelbagai bidang mengenai kes-kes yang dikategorikan sebagai berisiko rendah serta kes yang memerlukan rujukan kepada pakar perubatan sepanjang kandungan dan kelahiran

3. Pemindahan ke hospital untuk rawatan kecemasan adalah cepat di mana, 85% daripada kes yang memerlukan rujukan ke hospital, sampai dalam tempoh kurang setengah jam.

4. Sewaktu di rumah, suhu badan, nadi, tekanan darah dan jantung anak dalam kandungan diawasi dan direkod dengan lengkap. Kelengkapan bersalin yang bersih dan nyahkuman digunakan.

Hasilnya, kajian di negara maju menunjukkan kadar kematian ibu dan bayi adalah sama bagi kelahiran secara terancang di rumah mahupun di hospital; kecuali terdapat peningkatan kadar kematian bagi bayi yang dilahirkan di rumah, setelah berumur sekitar 2 hingga 4 minggu. Ini bermakna, walaupun ibu yang bersalin di rumah adalah daripada kategori berisiko rendah, namun kadar kematian adalah sama dengan ibu yang bersalin di hospital yang mengendalikan kelahiran berisiko tinggi. Kajian juga menunjukkan, seperti yang diharapkan, bagi ibu berisiko rendah yang merancang untuk bersalin di rumah, kadar pembedahan dan kecederaan pada kemaluan adalah rendah.  

Justeru, kita mengakui bahawa sememangnya wanita mempunyai hak untuk merancang namun beban kebertanggungjawaban dan amanah amat perlu dititikberatkan. Wanita bertanggungjawab untuk memastikan pilihan yang dibuat adalah didasarkan kepada sebab yang munasabah. Wanita juga harus sedar secara amnya, sistem kesihatan di Malaysia belum bersedia untuk semua ini. Masih banyak ruang dan lompang yang perlu diisi oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia. Dengan daya kepimpinan yang lemah dan kurangnya keazaman politik oleh Barisan Nasional terhadap isu-isu kesihatan, barangkali wanita terpaksa menunggu sehingga pilihan raya akan datang sebelum boleh menyimpan cita-cita untuk bersalin di rumah dengan selamat. Kita meyakini bahawa Allah SWT menjadikan pada wanita semangat dan jati diri yang kuat untuk menggalas amanah yang mulia ini, sebagai ibu mahupun pengundi. Bersama, kita fahami dan laksanakan hak dan tanggungjawab kita!    

No comments:

Post a Comment