Sunday, January 12, 2014

Jenayah curi lembu pula berleluasa

Di tengah kemelesetan ekonomi, kejadian kecurian dan rompakan semakin bertambah, antaranya termasuk kejadian curi lembu yang pelik menyebabkan orang ramai terkejut.

Terbaru, satu kes dilaporkan Ahad lalu di Kulim, Kedah di mana dua mencuri berjaya memuatkan empat ekor lembu ke dalam kereta Proton Wira yang diubahsuai.


Kedua pencuri itu terpaksa meninggalkan kereta mereka - yang kerusi belakangnya dialih untuk memuatkan lembu-lembu tersebut - setelah ia rosak 15km dari tempat kejadian.

Bulan lalu, 50 pencuri berpengalaman - bersenjatakan enam pistol - telah menceroboh ladang lembu di Melaka dan dan berjaya melarikan 30 lembu dengan dua lori.

Berbanding ayam, itik dan kambing, lembu ialah ternakan paling besar. Dan ia menjadi 'kegemaran' pencuri lantaran permintaan pasaran yang tinggi.

Ada juga yang mungkin menyalahkan kemelesetan ekonomi memberi inspirasi kepada beberapa kumpulan untuk mencuri lembu.

Setiausaha Persatuan Peladang Lembu India Pulau Pinang M Asogan memberi spekulasi betapa pasaran gelap daging lembu kini aktif berdasarkan kes-kes yang dilaporkan.

Dalam satu temuramah dengan Malaysiakini, Asogan berkata sebilangan penjual daging mungkin bersubahat kerana mereka dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM700 jika membeli lembu curi.

"Seekor lembu dengan berat antara 250kg hingga 300kg boleh dijual sehingga RM 3,100... tetapi harga seekor lembu curi hanya sekitar RM 2,400.

“Untuk enam bulan lepas, kita hanya menerima satu kes 'hilang lembu' secara purata tapi kini kita dapat sekurang-kurangnya tiga kes setiap dua bulan," kata beliau.

Asogan berkata kumpulan pencuri yang dianggap beliau sebagai "bijak" itu selalunya membawa lembu curi mereka terus ke ladang sembelihan haram untuk menjual daging mereka secepat mungkin.

"Dengan tindakan pantas mereka, polis tiada cara untuk membuat pemeriksaan walaupun pemilik ladang membuat laporan dengan cepat. Daging itu sudah dijual di pasaran sebelum polis membuat siasatan," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment