Sunday, January 12, 2014

Panas!! Peserta Maharaja Lawak Mega Belasah Umno BN Dalam Persembahannya

Malam tadi, seperti malam Jumaat sebelumnya, tercegatlah kami sekeluarga di depan televisyen menonton Maharaja Lawak Mega. Hiburan ringan ini sedikit sebanyak melegakan perasaan stress di tempat kerja.

Gelak tawa yang terhasil daripada persembahan peserta Maharaja Lawak Mega mampu melampias keletihan sepanjang minggu.Faktanya, kadar hormon stress seperti kortisol dan adrenalin akan cenderung untuk menurun ketika kita ketawa, jadi peluang untuk ketawa ini jangan dilepaskan.


Kerana itu juga kita melihat di celah mana-mana sudut dalam laman sosial, “trolling” sering menjadi trending yang besar. Setiap gambar berangkai yang mengajuk kata-kata menteri dan ahli politik atau fatwa songsang mufti sebagai contohnya, pasti membuatkan anda tersenyum. Malah saya percaya setiap kali kita membuka laman sosial Facebook, kita akan ternanti trolling baru merentasi ruangan suapan berita.


Benarlah tawa itu penawar duka. Selain peserta Maharaja Lawak Mega, para menteri, para pegawai kanan polis, para mufti dan juga termasuk Perdana Menteri dan timbalannya sering mengeluarkan kenyataan yang mempunyai nilai komidi, lebih-lebih lagi Zahid Hamidi.

Di sebalik ajukan yang menggelikan hati, hadir pula komen-komen berani daripada anak muda menokok-nambah rencah bahan tawa. Memperlekeh kenyataan menteri menjadi sesuatu yang sangat cool hari ini, menjadi ikutan dan hiburan di laman sosial.

Berbalik kepada hiburan Maharaja Lawak Mega tadi malam, sesuatu yang agak mengejutkan berlaku. Ingin saya mengaku di sini bahawa sejak sekian lama pelawak bernama Nabil selalu menjadi pilihan dan sokongan pihak saya. Bukan kerana beliau sering mempromosi bahaso nogori yang menjadi bahasa hometown saya tetapi kerana kehebatan beliau beraksi seorang diri.

Tidak mudah menjayakan standing comedy, tetapi Nabil cukup berjaya dengan usaha yang gigih menjadi penghibur tanahair.

Namun bukanlah Nabil yang mengejutkan saya. Kejutan telah dibuat oleh sebuah kumpulan bernama SYJ, mungkin sahaja singkatan daripada nama ahli kumpulan tersebut iaitu Syuk, Yassin dan Jihan. SYJ mengejutkan banyak pihak termasuk mendapat sorakan spontan para penonton, komen juri yang memuji tindakan mereka dan seterusnya mengundang pelbagai komen di laman sosial. Semuanya positif, semuanya menyokong SYJ.

Ironinya, daripada persembahan kumpulan SYJ itu, mereka bukan sahaja terselamat daripada tersingkir malah kedudukan dalam carta menunjukkan peningkatan yang mendadak, mereka tidak berada di kedudukan tiga tercorot dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega minggu ke sembilan. Kepada sesiapa yang mengikuti siaran Maharaja Lawak Mega, pasti sedar kejutan tersebut dan mungkin bersetuju dengan tindakan mereka.

Kumpulan SYJ merupakan satu-satunya kontenden yang sanggup membahayakan kedudukan mereka dalam dunia hiburan apabila menyelitkan jenaka troll kenaikkan harga petrol, dan terus menyindir kerajaan apabila mengumumkan satu-satunya penurunan yang berlaku adalah penurunan dividen ASB (berbanding pelbagai kenaikan yang membebankan rakyat).

Difahamkan juga ini bukan kali pertama SYJ menerapkan isu semasa dalam jenaka mereka. Apa yang ditonjolkan oleh kumpulan SYJ malam tadi adalah satu bentuk sokongan kepada rakyat dan gerakan pendesak penurunan kos sara hidup. Harus menjadi kesedaran semua betapa isu kos sara hidup yang melambung adalah isu sebenar, bukan isu pertelingkahan agama. Tindakan SYJ membakar isu ini adalah terpuji dan wajar mendapat sokongan ramai.

Tahniah kumpulan SYJ. Walaupun saya peminat Nabil, namun undi saya selepas ini adalah untuk SYJ dan saya yakin ramai di antara kita yang akan ambil keputusan sama. Undi saya adalah untuk mereka yang bersama rakyat, undi saya ialah untuk mereka yang sanggup membawa isu rakyat walaupun sedar tindakan tersebut mengundang “gam” pihak berkepentingan.

Penguasa ini tidak perlukan alasan untuk menutup periuk nasi orang seni yang tidak memihak kepada mereka, ini pernah berlaku dan terus berlaku.

Kumpulan SYJ menjalankan peranan mereka dengan risikonya tersendiri, maka kita di sini juga harus berperanan menjadi pendesak utama. Jika kita terlepas aksi 50 ribu #RPDM31D, berjanjilah bahawa kita tidak akan melepaskan lagi peluang pada masa akan datang, dengan berani menuntut kos sara hidup diturunkan, atau pemerintah zalim itu dihumban!

Semoga kumpulan SYJ menyelitkan lagi isu-isu rakyat dalam jenaka mereka agar ia mampu menyedarkan lebih ramai di luar sana. Saya berdoa agar kumpulan SYJ akan melangkah ke final Maharaja Lawak Mega dan tidak mustahil menjadi juara. Juara rakyat (peoples champ). 

No comments:

Post a Comment