Sunday, January 12, 2014

Kata Tun hudud tidak wujud dalam al-Quran


Salam, ustaz baru-baru ni heboh pasai Tun cakap hudud tak wajib keatas orang Islam sebab tiada dalam al-Quran katanya hanya kata-kata ahli fiqah saja. Apa pendapat ustaz pula, sedangkan para ulamak-ulamak memperjuang hukum hudud Allah kerana terdapat dalam al-Quran juga mengatakan wajib melaksanakan hukum Allah...

Jawapannya

Memang semua orang kenali bahawa Tun Mahadir adalah orang yang bijak. Banyak jasa-jasanya yang dilakukan terhadap pembangunan negara sewaktu ia menjadi perdana menteri Malaysia dahulu. Cuma kekurangan yang ada pada Tun adalah ilmu-ilmu agama, sebab itulah ada sebahagian hujah-hujah agama yang dikeluarkan oleh Tun sangat bertentangan dengan disiplin ilmu agama yang ada. Berlakulah pandangan-pandangan yang sangat meleset dari kebenaran yang telah dirungkaikan oleh ulama dari dua manhaj yang ditinggalkan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan sunah.

Mengenai kata-kata Tun bahawa hukum hudud tiada di dalam al-Quran itu merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Kerana dari segi hakikatnya banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang pelaksanaan hukum hudud. Untuk makluman pembaca budiman, hudud adalah sebahagian kecil undang-undang Islam yang terdapat di bab Jenayah Islam. Sebenarnya undang-undang Islam meliputi semua perkara yang dinamakan syariat Islam termasuklah hukum qisas, hudud dan takzir.

Mari kita singkap ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kewajipan melaksanakan hukum hudud, antaranya ialah :

Kesalahan mencuri. Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua mereka (sebagai) pembalasan terhadap apa yang telah mereka lakukan dan sebagai seksaan (kemurkaan)dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Maidah : 38) 
Kesalahan berzina. Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Perempuan-perempuan yang berzina dan lelaki-lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya menghalang kamu dari menjalankan agama(hukuman) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah perlaksanaan hukuman terhadap mereka berdua disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman”. (Surah an-Nur : 2) 
Kesalahan menuduh zina tanpa empat orang saksi. Firman Allah SWT yang bermaksud :  

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik melakukan zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penuduh) dengan 80 kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selama-lamanya dan mereka itulah orang-orang yang fasiq”. (Surah an-Nur : 4) 
Kesalahan minum arak. Firman Allah SWT yang bermaksud :  

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya meminum arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji dari perbuatn syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan. Sesungguhnya syaitan itu ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu dengan meminum arak dan berjudi, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan mendirikan sembahyang, maka adakah kamu mahu berhenti (dari melakukan perkara tersebut)”. (al-Maidah : 90-91) 
Kesalahan murtad. Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Barangsiapa yang murtad di kalangan kamu dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan kekafiran itu, maka sia-sialah segala amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka inilah penghuni neraka dan kekal di dalamnya selama-lamya”. (Surah al-Baqarah : 217) 
Kesalahan menderhaka kepada pemerintah Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :  

“Balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi, ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja) atau di buang negeri (kalau mwereka mengganggu ketenteraman awam. Hukuman yang demikian adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” (al-Maidah : 33)

Hudud ini bukan rekaan ahli fekah, tetapi sudah lama termaktub di dalam kitab al-Quran dan hadis. Jadi dakwaan mengenai rekaan ahli fekah itu adalah tuduhan yang salah tanpa menyelidiki dahulu sumber-sumber yang dibincangkan oleh ulama fekah. Inilah musibah yang dihadapi oleh kita semua apabila orang yang tidak ahli berhujah mengenai hukum-hukum Islam. Amat malang semua ini dirujuk pula kepada mereka yang jelas ingin menentang kebenaran Islam dengan menolak dalil-dalil hadis dan mereka berkata al-Quran sudah lengkap tidak perlu lagi hadis-hadis dan hujah ulama.

Gambaran yang dapat saya buat di sini seperti sebuah kapal yang berlayar di lautan luas, ia memerlukan satu enjin yang kuat, body yang tahan dari pukulan ombak, nahkodanya juga cukup arif dalam bidang pelayaran. Insyaallah semua anak kapalnya akan selamat tiba ke distinasi yang dituju. Cuba anda bayangkan bagaimana jadinya kapal tersebut apabila kurang salah satu dari tiga komponen yang penting ini. maka sudah pasti ia tidak boleh belayar, sekiranya belayar ia akan melencung jauh dari distinasinya.

Begitu juga Islam terdiri daripada beberapa asas utama iaitu al-Quran, al-Hadis dan ijmak ulama. Di sini bukan bermaksud al-Quran itu lemah, tetapi ia menjadi sokongan atau penguat antara satu sama lain. Sebenarnya setiap hadis dan ijmak ulama itu datangnya juga dari al-Quran. Jadi tidak ada satupun hukum Islam itu yang direka oleh ahli fekah. Buktinya boleh lihat di dalam kitab-kitab fekah setiap hujah dikuatkan dengan al-Quran dan hadis.

Akhir sekali, diharapkan Tun dan juga mereka yang berpandangan sama dengannya kembalilah bertaubat dan perbetulkan pandangan agar ia selaras dengan apa yang dinyatakan oleh al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Sebelum mengeluarkan sesuatu hujah mengenai Islam, maka sebaiknya rujuklah kepada mereka yang ahli mengenainya, supaya setiap pandangan dibuat tidak sesat jauh dari jalan yang dibawa oleh Islam. 

No comments:

Post a Comment