PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor seharusnya akur dengan nasihat Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak agar orang Umno memenuhi surau dan masjid.
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, pendirian Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan membenarkan Hard Rock Cafe dibuka di Putrajaya dengan bersyarat, bertentangan dengan nasihat Najib sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Umno November tahun lalu.
"Berkenaan dengan Hard Rock Cafe, saya ambil nasihat Presiden Umno, ahli Umno kena pergi surau.
"Jadi kalau kena pergi surau kenapa nak buka kelab hiburan di tempat yang tak ada kelab? Kalau nak berhibur pergi Kuala Lumpurlah. Bayar tol sikit.
"Hard Rock dah ada di Jalan Sultan Ismail, dan masih kosong lagi tempat-tempat itu, pergilah ke sana," kata beliau dalam sidang media selepas program minum petang dan sembang santai bersama warga Putrajaya di medan selera Presint 9, dekat sini petang tadi.
Terdahulu, berdialog di hadapan kira-kira 50 orang yang hadir, calon PAS di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 itu berkata, PAS mencadangkan pembinaan sekolah tahfiz di Putrajaya untuk anak-anak Putrajaya dan ramai yang menyetujuinya.
"Dulu kita cadang nak bina tahfiz di Putarajaya untuk ibu bapa hantar anak-anak mereka.
"Tak ada pun orang telefon atau sms minta dibuka Hard Rock Cafe. Sekarang kerajaan nak buka kelab pula. Kenapa ini terjadi? Kerana PAS tak berjaya kuasai Putrajaya," katanya.
Tambah beliau juga, cadangan Tengku Adnan agar Hard Rock Cafe Putrajaya tidak menghidangkan minuman keras dan menyediakan persembahan nasyid sangat tidak logik.
"Dua ciri utama Hard Rock Cafe ialah mesti ada persembahan artis dan hidangan minuman keras. Macam mana pula nak jadikan versi Islamik," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment