Tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan keputusan yang bakal dikenakan terhadap Karpal Singh di bawah Akta Hasutan membuktikan Umno-BN terus menyalah guna institusi kehakiman, tegas Sekretariat Pakatan Rakyat.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR, Dato’ Saifuddin Nasution dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook, mereka menyifatkan Umno-BN tidak pernah belajar daripada ‘hukuman rakyat’ bermula sejak peristiwa 1998, sehingga mengulangi tindakan terhadap dua pemimpin Pakatan Rakyat ini.
“Enam tahun selepas berlakunya gelombang 8 Mac 2008, Umno-BN telah kehilangan sokongan rakyat. Pakatan Rakyat pula jelas muncul sebagai kuasa yang terus mengancam hegemoni Umno-BN.
“Walaupun Umno-BN terus hilang sokongan, namun keangkuhan dan kedegilan mereka berterusan, yang ditunjukkan melalui keengganan melakukan reformasi tulen ke atas institusi-institusi penting negara termasuklah institusi kehakiman.
“Hal ini kerana ianya satu-satunya jalan yang menjamin kelangsungan Umno-BN untuk kekal berkuasa,” kenyataan itu dipetik.
Sekretariat Pakatan Rakyat yakin pengorbanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan sia-sia malah akan membuka mata rakyat, menyemarakkan semangat dan melonjakkan sokongan segenap lapisan masyarakat untuk bersama Pakatan Rakyat demi melakukan perubahan.
Kenyataan media itu juga turut memaklumkan ketetapan Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk memulaukan siding Dewan Rakyat pada 11 Mac sebagai tanda bantahan terhadap salah guna badan kehakiman oleh BN.
Tindakan ini juga sebagai tanda solidariti untuk Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bakal dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan untuk bersama calon Pakatan Rakyat pada penamaan calon Pilihanraya Kecil Dun Kajang.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagaimanapun akan hadir pada majlis pembukaan parlimen dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mac.
No comments:
Post a Comment