Saturday, January 25, 2014

Dan kini pencetak baju pula disiasat...



ULASAN Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam siasatan yang dilakukan pihak polis ke atas pencetak baju Zul Raidy Ahmad Tarmizi yang dipanggil untuk diambil keterangan di IPD Serdang kelmarin.

Pihak polis menyiasat Zul Raidy mengikut peruntukan seksyen 124D Kanun Keseksaan iaitu Percetakan, penjualan dan sebagainya, dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Seksyen 124B sehingga Sekyen 124N merupakan seksyen baru yang dipinda ke dalam Kanun Keseksaan pada tahun 2012 bagi menafsir maksud kesalahan keselamatan yang terkandung di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)2012, SOSMA. Semua sekyen ini memiliki tafsrian mengenai kesalahan-kesalahan yang disifatkan boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Hal ini juga membawa maksud, siasatan yang dijalankan di bawah seksyen 124B sehingga 124N ini memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengambil tindakan menggunakan SOSMA. Orang yang ditangkap di bawah SOSMA boleh ditahan selama 28 hari untuk tujuan siasatan, tanpa perlu mendapatkan perintah reman daripada majistret.

Berdasarkan pemerhatian Suaram, sejak SOSMA digubal pada Julai 2012, wujud trend di mana pihak polis gemar menggunakan seksyen 124C dan 124D sebagai ugutan kepada rakyat.

Pada musim pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Razali Basri dalam satu kenyataan yang disiarkan Utusan Online bertarikh 10 April 2013, berkata, Polis Diraja Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menggunakan SOSMA semasa PRU13 sekiranya berlaku ancaman atau perkara yang tidak diingini.

Tidak lama selepas mengeluarkan kenyataan itu, pada 19 April 2013, seorang aktivis pembaharuan pilihan raya, PY Wong dipanggil ke Bukit Aman untuk disiasat di bawah peruntukan seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. Sedangkan PY Wong merupakan aktivis dari kempen Tindak Malaysia yang giat menjalankan aktiviti pendidikan pilihan raya terhadap masyarakat.

Pada 21 Disember 2013, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam kenyataan yang disiarkan Sinarharian.com.my berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas penganjur dan peserta himpunan 31 Disember 2013 termasuk menggunakan SOSMA.

Pada 30 Disember 2013, jam 9.30 malam, sepasukan anggota Polis cuba untuk menahan aktivis pencetak baju, Zul Raidy di bawah Seksyen 124D Kanun Keseksaan di rumah keluarganya di Taiping.

Setelah gagal menemui Zul Raidy, pihak Polis datang pula ke rumah sewa Zul Raidy di Seri Kembangan pada jam 2.30 pagi namun Zul Raidy tidak berada di rumah pada ketika itu. Polis merampas lebih 50 t-shirt dan membawa seorang rakan Zul Raidy ke IPD Serdang untuk diambil keterangan pada jam 5 pagi.

Melihat kepada situasi ini, Suaram menggesa pihak polis berhenti daripada menggunakan seksyen 124C dan 124D untuk menakutkan rakyat. Seksyen-seksyen ini mengandungi tafsiran yang terlalu luas sekaligus memberi ruang kepada apihak polis untuk membuat tafsiran sendiri mengenai kesalahan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.

Suaram ingin bertanya kepada pihak polis, apakah berhimpun secara aman dan menuntut sesuatu perubahan daripada kerajaan itu memudaratkan demokrasi berparlimen? Apakah mencetak baju yang mengajak rakyat berhimpun secara aman itu boleh memudaratkan demokrasi berparlimen? Apakah mendidik rakyat untuk menjadi pemerhati pilihan raya boleh dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen?

Melihat kepada trend ini, Suaram merasakan sudah tiba masanya SOSMA perlu dimansuhkan, begitu juga dengan seksyen 124B sehingga 124N, bagi mengelakkan seksyen-seksyen ini ditafsir secara mudah oleh pihak Polis.

Pihak polis dilihat menggunakan seksyen-seksyen ini untuk menghalang ekspresi rakyat terhadap kerajaan, sedangkan hak untuk berekspresi merupakan hak asasi yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Sekiranya SOSMA dan Seksyen-seksyen ini dikekalkan, Suaram khuatir lebih banyak hak sivil dan politik rakyat Malaysia akan dicabuli.


SYUKRI RAZAB adalah Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram)

sumber"

No comments:

Post a Comment