Saturday, January 25, 2014

Suspek samun, ragut enggan serah diri ditembak mati


KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga suspek kes samun dan ragut ditembak mati sepasukan polis di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Ampang, setelah dikejar sejauh 10 km di lebuh raya itu malam tadi.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Satria sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan di Wangsa Maju kira-kira 8.30 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata ketiga-tiga suspek diarahkan keluar dariapada kereta untuk diperiksa tetapi sebaliknya terus memecut kenderaan itu yang dipandu seorang suspek lelaki menghala ke arah Cheras sehingga menyebabkan sebuah motosikal polis rosak teruk akibat dilanggar.

"Mereka melarikan diri dan dikejar MPV pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul namun mereka terus memecut laju kenderaan, melihat kepada kewajaran (keadaan) anggota polis telah melepaskan sekurang-kurangnnya empat das tembakan dan mengenai bahagian kepala suspek.

"Kenderaan itu kemudiannya berhenti secara tiba-tiba di tepi Lebuhraya MRR2 berhampiran Ampang dan dua daripada mereka diberkas manakala pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat terkena tembakan dan dihantar ke Hospital Ampang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian dekat sini.
    
Menurut Khairi, suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.40 pagi ini.

Beliau berkata dalam cubaan melarikan diri, kenderaan itu melanggar sekurang-kurangnya lapan buah kereta dan dua motosikal.    

Khairi berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek, polis menemui sebuah beg yang dipercayai disamun, peralatan menghisap dadah dan dua bilah parang.

"Beg itu merupakan beg yang telah disamun petang semalam di sekitar Wangsa Maju," katanya.

Beliau berkata kumpulan yang dianggotai lelaki dan wanita berumur 20 hingga 30 tahun itu dipercayai melakukan jenayah samun dan rompak di jalanan berdasarkan penemuan peralatan samun. - Bernama

No comments:

Post a Comment