Tuesday, December 24, 2013

Amaran gelombang kedua banjir di Pahang

Jabatan Meteorologi Pahang hari ini memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.
  
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku bermula 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan terutama di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Rompin.
  
"Dalam tempoh yang sama juga air pasang turut akan berlaku, manakala kelajuan angin diramalkan 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini.
  
Turut hadir dalam sesi taklimat banjir itu ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
  
Azemi berkata mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 Dis hingga 6 Dis lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

"Sesi kedua diramalkan berlaku pada 18 Dis hingga 22 Dis lepas, bagaimanapun ia tidak berlaku.
  
"Jadi, peringkat kedua itu diramalkan berlaku pada 30 Dis hingga  6 Jan tahun depan, dan akan disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac," katanya.
  
Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.
  
Sebanyak sembilan daerah terbabit banjir iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Temerloh, Raub, Bera, Lipis dan Maran.
  
Berdasarkan laporan sebelum ini, lebih RM65 juta kerugian harta benda akibat banjir itu, dan turut mengorbankan tiga nyawa akibat lemas. - Bernama

No comments:

Post a Comment