Tuesday, December 24, 2013

Surat terbuka untuk Datuk Seri Najib Razak



Pasca PRU13, ataupun pasca rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kesabaran rakyat terus dan terus diuji. Pelbagai jenis keperluan rakyat dinaikkan dengan alasan yang pelbagai. Kata Datuk Seri, kita naikkan gula kerana mahu mengurangkan kadar diabetes rakyat Malaysia. Malah kata menteri-menteri yang lain, yang menjadi 'trademark' setiap kali kos sara hidup dinaikkan, "Kalau tak suka, jangan duduk di Malaysia!".
Macam Malaysia ini kerajaan BN yang punya. Suka hati menghalau rakyat untuk berhijrah ke negara lain.
Datuk Seri Najib Razak, saya masih ingat salah satu manifesto parti sewaktu PRU13. Datuk kata mahu menurunkan kadar tol secara berperingkat, Datuk kata mahu menurunkan itu dan ini, maka gembiralah kami seraya memberi mandat kepada Datuk agar melaksanakan manifesto dan janji. Datuk kata prihatin nasib rakyat. Saya ingat lagi, Datuk selalu mengulang kalimah Janji Ditepati. Namun setelah mandat itu diterima, mana Janji Ditepati? Yang saya lihat, banyak roti capati yang dijual di kedai-kedai mamak. Saya tak suka makan roti capati.
Ingatlah Datuk, mandat yang dipegang sekarang diberi oleh rakyat, maka rakyat mampu menariknya kembali. Maka, prihatinlah masalah rakyat. Datuk kata rakyat mampu untuk menanggung kenaikan kos ini. Adakah Datuk tahu kewujudan begitu banyak golongan yang tidak mempunyai rumah (homeless) di bandar KL ini? Hampir setiap minggu rakan-rakan saya melalui begitu banyak program seperti The Nasi Lemak Project dan sebagainya turun untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Itu baru di bandar, bagaimana pula nasib mereka di kampung? Saya masih ingat lagi sewaktu saya kecil, ibu saya menangis kerana tidak mampu memberi wang kepada saya untuk ke sekolah. Saya memikirkan, jika golongan pertengahan pun berang kerana kenaikan kos sara hidup, bagaimana pula dengan golongan bawahan? Datuk, mereka miskin bukan kerana mereka bodoh, tapi mereka miskin kerana mereka diperbodohkan kroni-kroni Datuk.

No comments:

Post a Comment