Tuesday, December 24, 2013

Kanun syariah: MB Kelantan mengadap Sultan Brunei

Sultan Brunei baru-baru ini menerima mengadap Menteri Besar Kelantan bagi merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan kerajaan Brunei melaksanakan Kanun Perintah Jenayah Syariah 2013.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pada hari pertama kunjungan itu Sultan Brunei memberi peluang rombongan dari Kelantan mengadap baginda.

“Ini satu penghormatan besar yang diberi kepada kerajaan Kelantan. Malah Tuanku bertitah kepada beberapa jabatan supaya memberi penjelasan kepada rombongan dari Kelantan.

“Kita berkesempatan mengunjungi Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara, Mahkamah Syariah dan Pejabat Mufti Brunei.

“Di Kementerian Hal Ehwal Agama diadakan perbincangan dari hati ke hati. Manakala di Jabatan Peguam Negara pula kita bersempatan mendengar taklimat bagaimana pelaksanan panel code seiring dengan Kanun Jenayah Syariah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Rombongan dari Kelantan seramai 10 orang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, anggota Exco, Mufti, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Kunjungan selama empat hari itu bermula pada 16 Disember lalu. Penginapan dan segala keperluan di Brunei dibiayai kerajaan Brunei.

Ahmad berkata, hasil perbincangan tersebut memperlihatkan kehebatan negara Brunei di bawah pemerintahan Sultan sekarang, menggunakan kuasa yang ada pada baginda.

“Pelaksanaannya tidak perlu melalui parlimen seperti di Malaysia. Ini kerana setiap titah sultan akan menjadi sebahagian undang-undang,” ujarnya.

Pelaksanaan kanun tersebut dibuat melalui tiga peringkat, fasa pertama bermula selepas enam bulan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 diwartakan.

Fasa kedua selepas 12 bulan daripada tarikh Perintah Kanun Peritah Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan.

Dan fasa ketiga, selepas 24 bulan tarikh Perintah Kanun Perintah Jenayah Mahkamah Syariah diwartakan.

“Maklumat itu cukup penting bagi kita di Kelantan. Ini memberi ransangan kepada kerajaan Kelantan lebih bersedia untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada 1993,” katanya.

Menurutnya juga rakyat Brunei pelbagai kaum dan agama menerima perundangan itu tanpa ada sebarang bantahan.

“Cuma ada kedutaan asing datang untuk mendapatkan pencerahan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment