Tuesday, December 24, 2013

Letupan bom: Pelajar Malaysia di Mansoura selamat

Semua pelajar Malaysia di Mansoura, Mesir, berada dalam keadaan selamat, susulan kejadian letupan bom yang dilapor menggegarkan bandar raya itu pada Selasa.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, berdasarkan rekod Kedutaan Malaysia di Kaherah, terdapat kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di bandar raya itu.

"Mereka sudah dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi Malaysia sangat bimbang dengan insiden letupan tersebut dan kesal kerana kejadian meragut nyawa mereka yang tidak berdosa.

"Malaysia menggesa semua pihak terlibat agar tidak meneruskan keganasan," kata kenyataan itu.

Wisma Putra sedang memantau situasi di wilayah berkenaan.

Media melaporkan seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan dalam pekarangan balai polis di Mansoura yang mengakibatkan 15 terbunuh dan 140 lagi cedera. - Bernama

No comments:

Post a Comment