Tuesday, December 24, 2013

Kerajaan BN, PM Jenis Apa Tidak Hiraukan Masalah Rakyat



BARISAN Nasional (BN) ini kerajaan jenis apa dan Datuk Seri Najib Razak pula Perdana Menteri jenis apa yang sanggup membutakan mata, memekakkan telinga sehingga membuatkan rakyat berpendapatan rendah semakin meluat kerana penderitaan mereka yang dibebani kenaikan harga barang tidak dipeduli dan dihiraukan.

Kalau macam inilah kerajaan BN dan Perdana Menteri yang menjadi sanjungan dan sokongan juak-juak UMNO, maka mereka patut terus memilih BN dan pemimpin sedemikian mentadbir negara untuk menjadi ‘lintah’ menghisap darah rakyat sehingga menjadi papa kedana, manakala kroni mereka terus dibelai menjadi kaya raya.

Ketika ini tidak ada orang yang tidak mengeluh dan terkejut dengan kenaikan harga barangan berikutan kenaikan harga petroleum sebanyak 20 sen, pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen, menaikkan tarif elektrik hampir 15% dan terbaru bakal menaikkan kadar tol mulai tahun depan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.

Masalahnya bukan setakat harga petrol dan diesel serta gula yang naik, tetapi ia membabitkan barangan lain kerana kos pengangkutan turut meningkat.

Ramai terkejut termasuk sendiri ketika berkunjung ke sebuah pasar raya baru-baru ini apabila mendapati harga ikan naik melambung termasuk ikan jenis pelaling dan selayang (sardin) (jenis ikan makanan orang miskin) kini dijual sehingga RM10 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM6 atau RM7 sekilogram.

Saya juga mengambil kesempatan meninjau harga beberapa jenis ikan lain, termasuk cencaru dan kembung, juga ikan jenis murah yang mampu dibeli rakyat miskin. Tetapi semua ikan itu juga dijual sehingga RM12 sekilogram.

Disebabkan harganya mahal, jadi saya tidak membeli ikan berkenaan, sebaliknya balik hampa tanpa membeli apa-apa.

Pada malamnya saya meninjau pula harga ikan yang dijual di pasar malam. Saya lagi terkejut apabila ikan yang dijual di situ lagi mahal sedangkan ia menjadi tumpuan orang Melayu.

Di pasar malam itu, ikan jenis sama dijual dengan harga lebih tinggi iaitu pelaling dijual dengan harga RM12 sekilogram dan ikan tongkol dijual RM13 sekilogram.

Ramai suri rumah juga mulai merungut dan mengeluh kerana mendakwa kalau pergi ke pasar raya atau kedai runcit sekarang ini tidak cukup jika membawa wang hanya RM50 kerana semua barangan beli harganya mahal.

Bapak menteri terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan wajar ambil langkah meninjau sendiri harga barangan di pasaran sekarang baru mereka tahu sendiri keadaan sebenar yang sedang menghantui rakyat miskin.

BN tidak langsung memperdulikan masalah rakyat sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, sebaliknya mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel dan gula menyebabkan barangan keperluan lain turut naik.

Sedangkan sebelum PRU-13, BN berjanji macam-macam termasuk memberi jaminan tidak akan menaikkan harga petroleum dan gula bagi mengurangkan subsidi dan tidak lama lagi rakyat akan dibelenggu dengan masalah kenaikan tol, tarif elektrik dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa tidak dapat dielakkan.

Kerajaan BN bertindak demikian kerana mereka tahu rakyat akan terus memilih BN memerintah negara kerana mendakwa rakyat tidak yakin dengan parti lain, termasuk Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Kenapalah rakyat masih ‘buat hati’ sehingga tidak dapat menilai kemampuan Pakatan Rakyat yang terbukti lebih baik, tidak membazir, tidak rasuah, tidak menyeleweng dan salah guna kuasa ketika mentadbir Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan berbanding ketika negeri itu ditadbir BN.

Kebelakangan ini bukan setakat pemimpin Pakatan Rakyat yang membantah keras tindakan kerajaan yang rasuah, boros dan melakukan pembaziran, malah beberapa pemimpin UMNO sendiri mula bersungut dan bimbang dengan kenaikan itu akan menyebabkan BN kalah teruk pada PRU-14 nanti.

Diharap rakyat tidak lagi mudah ‘dibeli’ ketika pilihan raya umum sebaliknya bertekad mengajar pemimpin dan BN pada PRU-14 nanti.

Ada juga cadangan agar semua rakyat turut ke jalan raya menyertai demonstrasi anjuran NGO dan PR untuk menuntut kerajaan menarik balik cadangan menaikkan tarif elektrik, tol dan pelbagai kenaikan yang diputuskan sebelum ini.

Bagaimanapun, langkah itu agak sukar kerana BN bergantung sepenuhya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak dapat menghalang demonstrasi itu.

Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang dipimpin Najib kini berhadapan masalah ekonomi, defisit kian melebar, hutang semakin meningkat, inflasi terus menjalar dan tabungan semakin sukar.

Walaupun transformasi dijana dan janji dijaja, barah rasuah dan disiplin integriti masih kekal di tahap lama.

Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, integriti dipertikaikan.

Jika demokrasi adalah pemerintahan “dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat”, ekonomi yang sihat juga begitu sifatnya.-roketkini 

No comments:

Post a Comment