Setelah mendengar pandangan beberapa teman yang sama-sama menjadi pendukung setia PAS selama ini dan berfikir agak lama, saya cuba ‘memberanikan diri’ untuk menyumbangkan sedikit pandangan mengenai isu buku Dr. Mujahid Yusuf Rawa - ‘Menuju PAS Baru’ – Krisis, Peluang dan Dinamisme’ – terbitan Malaysian Insider yang kelihatahnya mulai menjadi polemik di mana pandangan beliau dibantah oleh beberapa pihak di dalam PAS sendiri.
Seperti orang lain yang amat cintakan percambahan fikiran, rasional dan tanpa emosi, saya mengharapkan perbahasan ini – atau apa namapun - biarlah dalam suasana akhlak Islam, terkawal dan dipersembahkan dengan hujah ilmu, bukan emosi.
Pihak yang menentang buku tersebut, mahupun Dr. Mujahid sendiri adalah mereka yang sangat sayangkan PAS dan sama-sama berusaha memperkasa dan memelihara kemurniannya sebagai sebuah jamaah Islam.
Pihak yang menentang tentu mempunyai hujah mengapa ia menolak buku tersebut yang mungkin dianggap boleh ‘memudaratkan’ PAS. Demikian pula Dr. Mujahid tentu sekali mempunyai hujah untuk mempertahankan bukunya. Sudah dihuraikannya di majlis pelancaran buku ini dulu bahawa pandangannya itu hanya berupa sebuah ijtihad, boleh saja diterima dan boleh pula tolak. Tidak ada masalah, katanya.
Jika begitu keadaannya maka perbahsan mengenai isu buku ini tentu saja boleh diteruskan, namun perbahasan itu mestilah diuruskan dengan baik, dalam suasana ukhuwah Islamiyah, jauh dari prasangka dan hal-hal negatif.
Bukankah berbeza pandangan di dalam Islam itu suatu rahmat, seperti yang ditegaskan oleh hadis Rasulullah s.a.w. di samping banyak contoh lain di dalam sejarah kegemilangan Islam bagaimana berlaku perbezaan pandangan dari kalangan ulama mujtahidin, serta pemikir besar Islam yang lain sejak zaman berzaman di mana hasilnya menjadi warisan tamadun Islam yang sangat berharga.
Dengan itu jika perbahasan mengenai buku ini atau isu-isu lain dalam gerakan Islam diuruskan secara bijaksana, nescaya ia akan memperlihatkan kedinamisme PAS sebagai sebuah harakah Islam kontemporari. Nescaya ia akan dilihat sebagai model terbaik gerakan Islam moden yang sangat terbuka, toleransi, meraikan percambahan idea, bijaksana, sebuah parti Islam yang sangat dinamik. Memang ada sesetengah pihak yang merasa ‘terkejut’ dengan pandangan Dr. Mujahid ini yang mungkin dianggap sebagai suatu ‘penyimpangan’ dari kebiasaan bagi sebuah jamaah Islam. Mereka tentu saja merasa cemas dan tidak selesa dengan keadaan ini. Sebab itu mereka segera menyanggah apa saja yang meteka lihat sebagai elemen penyimpangan dari perjuangan PAS.
Bagaimanapun, tidak perlulah dikhuatirkan sangat bahawa sebuah buku Dr. Mujahid boleh ‘memecahbelahkan’ PAS. Jika ada tanggapan seperti ini, ia hanya menghantar isyarat seolah-olah dengan sebuah buku boleh ‘menggegarkan’ PAS, justru sepanjang sejarahnya, PAS telah mengharungi gelombang cabaran yang amat jauh lebih besar, namun bahtera PAS tetap utuh hingga kini.
Dalam sebuah perjalanan jauh dan sukar, jamaah Islam seperti PAS akan bertemu dengan pelbagai hal yang tidak diduga dan mengejutkan, dengan cabaran yang tidak putus-putus dihadapinya. Sebab itu, sepanjang sejarahnya sejak ditubuhkan, PAS telah mengalami pelbagai cabaran dan perubahan dalam rentang waktu lebih setengah abad perjuangannya, sehinggalah yang terkini, di mana ia mampu, malah mengisytiharkan, ‘PAS For All’ - langkah yang sangat dinamik dan berhasil meraih sokongan besar dari pelbagai pihak. Namun betapapun ia sangat terbuka dan toleransi, tetapi PAS tetap berada dalam orbit Islam.
Inilah uniknya PAS, sebuah kejayaan luar biasa di bawah pimpinan yang sangat dinamik. Ia tidak lagi memberikan keutamaan kepada form, tetapi kepada substans – tidak kepada label tetapi kepada isi. Kejayaannya ini terserlah dalam tsunami politik PRU Ke-12 2008 dulu. Ini menyebabkan musuh politik PAS ‘kelu lidah untuk berkata’. Inilah hasil keterbukaan dan dinamisme PAS, meninggalkan jauh kebelakang pemikiran politik perkauman yang masih diamalkan oleh musuh-musuh PAS hingga kini.
Namun seperti sebuah kafilah, PAS masih meneruskan perjalanan yang jauh dan mencabar dan sudah pasti pula akan bertemu dengan suasana, iklim politik dan sebagainya yang berbeza disepanjang perjalanan itu. Di sinilah sekali lagi kebijaksanaan PAS dituntut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana baru ini.
Di sinilah, saya fikir, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, seakan-akan berdiri dan memberikan isyarat bahawa PAS seharunya mempersiapkan diri dengan suasana baru yang dilihatnya akan ditempuh tanpa berkompromi dengan dasar asasnya.
Tentu saja pemberi isyarat ini bukan musuh PAS, ia adalah rakan seperjuangan yang amat setia, yang hanya mengingatkan kita bahawa di depan itu suatu perubahan yang perlu ditangani secara bijaksana. Ia merasa terpanggil untuk memberikan isyarat kepada jamaah.
Oleh itu tidak syak lagi, perbahasan mengenai buku beliau ini bukan untuk menentukan kalah menang, bukan juga untuk melepaskan letusan emosi, tetapi ia sebuah perbahasan yang diharapkan berjalan atas landasan hujah ilmu dan akhlak Islam.
Jika perbahasan ini berjalan seperti yang diharapkan, saya tidak fikir akan menyebabkan perbalahan sesama sendiri di dalam PAS. Bukankah PAS sendiri didukung oleh mereka yang matang dan boleh berfikir, yang disebut di dalam Al-Quran ‘Liqaumin-Yatafakkarun’, mereka yang terpelajar dan amat setia dengan perjuangan parti
Justru jika perbahasan ilmiah mengenai buku ini berlansung, maka hujah kedua belah pihak akan menjadi dokumintasi ilmu dan hazanah warisan PAS yang berharga bahawa di dalam sejarah perjuangan gerakan Islam ini, telah berlaku suatu perbahasan ilmu yang sangat dinamik.
Mungkin saja pelbagai golongan di Malaysia berminat menyaksikan jalannya perbahasan ini – sebuah perbahasan yang tidak mungkin dapat ditemui dalam mana-mana parti sekular - justru perbahasan ini berpaksikan fikrah dan pendekatan Islam. Dan inilah dinamisme Islam yang diserlahkan oleh PAS.
Benar, mungkin ada sedikit kekhuatiran jika polemik ini akan dijadikan senjata oleh musuh politik PAS untuk memecahbelahkannya. Janganlah dikhuatirkan, justru usaha mereka untuk melumpuhkan PAS selama ini tidak berjaya malah PAS bertambah utuh seperti yang saya nyatakan tadi, malah perbahasan ilmu seperti inilah antara ciri-ciri kekuatan PAS untuk berhujah di medan manapun.
No comments:
Post a Comment