Tuesday, January 11, 2011

RM500 untuk setiap guru, masih ada lebih untuk bina penjara baru!

Saya memberikan cadangan secara kasar supaya rakyat dapat meneliti sendiri angka yang diberikan dan menilai sebanyak mana wang yang 'bocor' dari kantung negara setiap tahun. Hanya dengan dua langkah mudah, kita mempunyai lebihan wang sebanyak 3 kali ganda berbanding apa yang dijanjikan dalam Buku Jingga.
Bukan itu sahaja, bahkan kita memiliki wang lebih untuk membayar benda lain seperti penjara-penjara baru untuk ahli politik kaki rasuah yang suka-suki membuncitkan perut sendiri dan kroni dengan cara merampas hak rakyat terbanyak selama ini.
Ini hanyalah perkiraan kasar kerana tidak cukup masa, tapi angka kasar ini sudah cukup menjelaskan segalanya.
Sebarang komen balas dialu-alukan.

A) BN selalu berkata bahawa banyak perkara yang kita tidak mampu, kononnya ia akan memufliskan negara etc, terutamanya pada perkara yang melibatkan bantuan langsung pada rakyat terbanyak.

Pada masa lalu, bantuan kewangan yang signifikan yang sedang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang adalah sesuatu yang mustahil di bawah BN, kerana dakwa mereka, kononnya kerajaan kekurangan dana.

Semenjak mengambil alih, PR di Selangor telah memulangkan sekitar RM150 juta setahun kepada rakyat terbanyak dalam bentuk air percuma, bantuan kemasukan ke universiti, skim mikrokredit dan sebagainya.

Sebab musabab kenapa PR mampu dan BN sentiasa berdolak dalih sambil memberi alasan adalah kerana PR sentiasa berusaha untuk meminimakan ketirisan dana awam yang berpunca dari korupsi dan rasuah.

B) Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan bahawa negara kehilangan RM28 billion ( 28, 000, 000, 000) setiap tahun akibat korupsi dan rasuah seperti kaedah pemerolehan yang tidak telus, projek kerajaan yang tidak selesai, peningkatan harga kos sewaktu fasa pembinaan dan sebagainya.

Kita tidak perlu mewujudkan sebarang skim pembiayaan kebangsaan yang hanya sekadar gah pada nama dan slogan, cukup hanya dengan mengatasi masalah korupsi dan rasuah sahaja, kita mampu menjimatkan RM28 billion yang boleh disalurkan untuk kepentingan rakyat terbanyak.

Jumlah yang tiris ini adalah fakta, dan PR komited untuk memulangkan jumlah yang besar ini kepada rakyat terbanyak.

Selain itu, menghentikan perbelanjaan yang membazir, tidak perlu dan keterlaluan oleh kerajaan juga akan mewujudkan budaya berhemat dalam berbelanja. Contohnya, menghentikan perjalanan PM ke luar negara yang terlalu kerap sehinggakan tempoh masa beliau di luar negara adalah sama dengan tempoh masa beliau di dalam Malaysia.

Begitu juga jumlah bayaran untuk mendapatkan kepakaran spin doctor Yahudi APCO (RM77 juta) atau penubuhan PEMANDU (RM66 juta) - BN mungkin akan menghujahkan bahawa jumlah ini kecil, tapi ini merupakan gambaran bahawa kerajaan sekarang mengamalkan budaya membazir dan wewenang dalam membelanjakan wang rakyat.

C) Setiap tahun, PETRONAS terpaksa membelanjakan RM19 billion (19,000,000,000 - betul ke jumlah kosong ni?) untuk membayar subsidi gas kepada IPP (Penjanakuasa Bebas - dimiliki oleh kroni) yang mendapat keuntungan lumayan kerana mereka dilindungi dari naik turun harga tenaga elektrik.

PETRONAS terpaksa membeli gas dari Natuna dan JDA pada harga yang jauh lebih tinggi, kemudian menjual semula pada IPP pada satu pertiga dari harga asal, semuanya berjumlah RM19 billion.

Sekiranya perjanjian ini dibatalkan, kita akan mempunyai keuntungan 19 billion setahun yang boleh dibayar semula oleh PETRONAS pada kerajaan, sekaligus dipulangkan semula pada rakyat.

Setiap tahun juga, kerajaan membelanjakan RM4 billion setahun sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuhraya. Jumlah sebanyak ini dapat dikembalikan pada rakyat jika struktur tol dibetulkan semula, seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga.

D) Hanya dengan mengatasi ketirisan yang berlaku akibat korupsi, menghapuskan subsidi korporat kepada IPP dan pampasan tol kepada syarikat konsesi, kita ada sejumlah (RM28 billion + RM19 billion + RM4 billion = RM51 billion) RM51,000,000,000 setiap tahun.

Jumlah ini lebih dari mencukupi untuk melunaskan segala janji yang terkandung dalam Buku Jingga.

E) Elaun khas guru - RM3.2 billion setahun

Subsidi diesel dan petrol kepada golongan yang memerlukan (di bawah pendapatan tertentu), selepas penstrukturan semula subsidi supaya hanya yang dari golongan bawahan akan beroleh manfaat: anggaran RM4 billion setahun.

Subsidi gas asli: Anggaran RM4 billion setahun.

Jumlah bayaran subsidi dan elaun khas yang dijanjikan dalam Buku Jingga: RM11.2 billion.

Harga yang ditawarkan oleh KWSP dan Khazanah untuk ambilalih keseluruhan aset dan operasi lebuhraya PLUS adalah RM23 billion. Sayap pelaburan kerajaan dan agensi kerajaan pada masa ini (melalui Khazanah dan KWSP) sudahpun memiliki 67.3% PLUS, maka tambahan kos untuk memulangkan keseluruhan aset dan operasi kepada kerajaan (beli dari pemegang saham minoriti) hanyalah RM7.5 billion.

F) Jumlah keseluruhan adalah RM3.2 b (elaun khas guru) + RM4 b (subsidi bahan api) + RM4 b (gas asli) + RM7.5 b (pembelian saham minoriti PLUS) = RM18.7 b.

Jumlah ini adalah begitu kerdil untuk dibandingkan dengan RM51 b yang boleh diperoleh melalui penstrukturan semula subsidi dan penghapusan korupsi/rasuah.


Adalah jelas bahawa isunya bukanlah samada kita mampu atau tidak, kerana angka membuktikan bahawa kita memang mampu. Ia hanya memerlukan kesungguhan politik, terutamanya apabila BN begitu bersungguh-sungguh untuk menghapuskan subsidi minyak tetapi tidak langsung memikirkan tentang subsidi yang diberikan pada IPP.

Apa kata anda? Masih tidak mampukah kita? Atau BN-UMNO masih mahu berdolak dalih kerana tidak mahu hilang sokongan taikoon besar?
- Rafizi Ramli

No comments:

Post a Comment