Tuesday, January 11, 2011

Pasukan khas pantau Umno di Tenang ‘ikut shif’

Penubuhkan pasukan khas untuk memantau pergerakan agensi kerajaan yang berkempen bagi pihak Umno-Barisan Nasional dalam pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, akan bertugas secara bergilir mengikut shif yang ditetapkan.
Menurut Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, pasukan itu yang dianggotai sekurangnya 20 pemantau, akan menjalankan pemantauan ke atas agensi-agensi kerajaan yang melakukan kempen untuk Umno.
“Setiap hari, pemantau akan bergilir menjalankan tugas mereka bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam kerana dalam tempoh ini kita percaya agensi kerajaan Umno akan bergerak aktif ,” kata Mazlan ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Sementara itu, Mazlan turut memberitahu pihaknya mula curiga dengan kehadiran kenderaan-kenderaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang semakin kerap keluar masuk terutamanya di kawasan penduduk Felda di Tenang.
“Sejak akhir-akhir ini, kita dapati banyak kenderaan keluar masuk di kawasan Felda yang boleh menimbulkan pelbagai perasangka. Kami tidak mahu mereka melanggar apa-apa peraturan pilihan raya sehingga menyebabkan berlakunya sogokan (kepada pengundi),” kata Mazlan.
Selain itu, antara badan-badan yang turut dipantau oleh pasukan khas termasuk Jabatan Agama Islam dan juga kawasan Orang Asal.
Menurut Mazlan, sekiranya terdapat bukti dan maklumat, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap minggu sehingga pilihanraya kecil itu selesai.
Baru-baru ini, Pas membuat laporan polis terhadap Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran kerana menjalankan kempen kepada pengetua, guru kaunseling dan guru-guru di sekitar Dun bagi membantu BN dalam pilihan raya kecil ini.
Menurut Mazlan, pihaknya turut mempunyai bukti rakaman video Markom menemui guru-guru kaunseling untuk memberi tekanan kepada mereka supaya menyokong BN dan merayu undi dalam pilihanraya kecil itu.
Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Labis, Pas menyatakan Markom menyalahgunakan kuasa sebagai Pengarah Pelajaran untuk berkempen secara terang-terangan untuk BN.
Antaranya menjalankan kempen kepada guru-guru kaunseling di daerah Segamat, guru-guru di SMK Munshi Ibrahim Labis, SK Kg Tenang, SK Pekan Air Panas, SK Felda Chemplak dan SMK Tenang Station agar mengundi Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment