Tuesday, January 11, 2011

Hadi Kesal Laporan The Star

SHAH ALAM 11 JAN : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kesal dengan laporan akhbar The Star semalam bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam melaksanakan agenda negara Islamnya termasuk dalam Pakatan Rakyat.

Justeru, kata Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar laporan bertarikh 10 Jan 2011 dengan tajuk "PAS won’t bow to pressure from any quarter, says Hadi”  sebagai tidak benar dan tersasar.

Tegasnya melaui satu kenyataan media hari ini menegaskan  berita yang disiar akhbar tersebut telah memberikan gambaran yang salah terhadap ucapan Presiden PAS di Majlis Suai Kasih yang dianjurkan oleh PAS dan Pejabat Parlimen Titiwangsa pada 9 Januari lalu.

"Presiden PAS sebenarnya menjelaskan bahawa PAS melihat perkembangan yang sangat positif di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat dalam memahami maksud Islam yang ingin dibawa oleh PAS," katanya.

Ujarnya, ia adalah dalam kerangka perlembagaan persekutuan yang turut dipertahankan oleh semua pihak dalam Pakatan Rakyat.

Perubahan paradigma ini memperkukuhkan lagi kerjasama erat PAS bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bertepatan dengan semangat dalam dasar bersama yang dipersetujui sebagaimana yang dirangkakan dalam  Dasar Bersama Muafakat Rakyat.

Apa yang dipertegaskan oleh Presiden PAS dalam majlis berkenaan adalah rentetan terhadap ucapannya di Konvensyen Pakatan Rakyat yang kedua di Pulau Pinang kira-kira hampir sebulan lalu bahawa PAS akan terus menjadi penjaga amanah bagi memperkasakan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

"Perubahan yang ingin dilaksanakan adalah semestinya dalam ruang lingkup perlembagaan dengan mengambilkira Islam sebagai agama rasmi negara, dengan meletakkan Islam berdasarkan kepada maknanya yang sebenar, tanpa menjejaskan amalan penganut agama lain di negara kita ini.

"Inilah yang ingin ditonjolkan oleh PAS, bahawa Islam adalah adil untuk semua," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment