Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya pagi tadi.
“Kenyataan Perdana Menteri kononnya janji 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi Umno- BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta.
“Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan (Najib) debat terbuka,” kata Anwar.
Anwar menjawab kritikan dan bidasan Najib semalam yang menyatakan Janji 100 Hari Pakatan itu, yang terkandung dalam Buku Jingga yang dikeluarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat bulan lalu, sebagai tidak bertanggungjawab dan menggadai masa depan negara.
Anwar dengan tegas berkata Pakatan mampu melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam buku Jingga tersebut dengan mengatasi masalah pembaziran, ketirisan dan rasuah yang dilakukan BN yang dianggarkan bernilai RM28 bilion setiap tahun.
Selain RM28 bilion yang dapat diselamatkan, kata Anwar, Pakatan Rakyat akan menstruktur semula sistem subsidi dengan memansuhkan subsidi korporat dengan memulangkan RM19 bilion subsidi yang ditanggung Petronas untuk membayar IPP dan menyemak konsesi tol untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion yang ditanggung kerajaan.
“Dua tindakan itu sahaja akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanya satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan,” kata Anwar.
Antara janji yang terkandung dalam Buku Jingga berkenaan ialah memberi imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 yang menelan belanja RM3.2 bilion setahun, penstrukturan subsidi minyak berjumlah RM4 bilion, meneruskan subsidi gas memasak RM4 bilion dan mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dalam konsesi tol yang dianggarkan berjumlah RM8 bilion.
“Jesteru jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan janji Pakatan Rakyat hanya lah RM19.2 bilion yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun.
“Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang,” kata Anwar.
Jesteru kata Anwar, tuduhan Najib bahawa Malaysia akan muflis jika program itu dilaksanakan adalah dangkal kerana hakikatnya Umno-BN menanggung beban hutang yang menggunung setiap tahun akibat pembaziran, ketirisan dan rasuah.
“Kerajaan Umno-BN akan mengugut negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta Apco. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan di sini,” kata Anwar.
Ketika ditanya sekiranya Najib enggan menerima cabaran debat tersebut, Anwar berkata ” Sepatutnya sebagai seorang tokoh negara, sewajarnya dia terima (debat), ” tegas Anwar.
No comments:
Post a Comment