Tuesday, January 11, 2011

BN umum calon Tenang 19 Januari

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Umno akan mengumumkan calonnya yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang 19 Januari ini.
Pengumuman calon BN dibuat tiga hari selepas Pakatan Rakyat yang akan mengumumkan calon mereka pada Ahad ini.
Kelmarin Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti Islam itu sudah membuat keputusan muktamad berhubung siapa yang bakal mewakili Pakatan Rakyat.
Menurut sumber The Malaysian Insider, pengumuman calon BN itu akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu program yang akan diadakan di Labis, Segamat.
“Ya, kita akan umumkan calon yang akan mewakili BN pada 19 Januari ini,” kata sumber itu.
Sementara itu  Setiausaha Umno Labis Abd Razak Abd Rashid enggan memberikan sebarang komen berhubung pengumuman calon BN.
Sebaliknya, Abdul Razak berkata ia terserah kepada kepimpinan Umno untuk mengumumkan calon yang bakal memikul tanggungjawab itu.
“Saya tidak boleh komen apa-apa mengenai perkara itu, biar kepimpinan tertinggi yang tentukan.
“Kita hanya buat kerja sahaja dan memastikan (DUN) Tenang tetap akan jadi milik BN,” katanya sambil menambah calon BN adalah anak tempatan.
Beliau juga berkata persiapan rapi sudah dibuat dan percaya Umno-BN akan tetap mempertahankan kerusi DUN Tenang.
“Persiapan sudah bergerak, saya percaya BN akan tetap menang di sini (Tenang). Saya kata akan menang.
“Jangan mimpi pembangkang (Pakatan Rakyat) akan menang, kalau pembangkang kuat dah lama mereka perintah negara,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh juga enggan memberikan sebarang komen berhubung pengumuman calon BN.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.
Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang ialah pada 22 Januari in manakala manakala pengundian jika ada persaingan akan berlangsung 30 Januari.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Kawasan itu mempunyai tiga penempatan Felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,000 orang.

No comments:

Post a Comment