NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN
الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي
لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء
قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد
أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين
1.
Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato‟ Mursyidul „Am,
Sohibul Fadhilah Dato‟ Timbalan Mursyidul „Am, Ashab al-Fadhilah Ahli
Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua
Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato‟ Setiausaha Agung dan seluruh
Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli
Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan
Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat,
NGO, pengamal media cetak dan elektronik, seluruh para perwakilan dan
pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.
2. Saya
ucapkan selamat datang ( )أهلا وسهلا ومرحبا بكم kepada semua para
perwakilan dan tetamu yang datang dari seluruh pelusuk tanahair tercinta
dan luar negeri. Saya juga mengalu-alukan kehadiran kali pertama
ahli-ahli baru PAS ke muktamar ini, dari kalangan rakyat, artis dan
karyawan, ahli sukan, tokoh akademik, mantan pegawai kanan kerajaan,
tokoh korporat dan masyarakat, dan semua kalangan yang ingin bersama PAS
membawa mesej Islam ke dalam negara kita ini. Sesungguhnya kehadiran
tuan-puan sekelian, akan memeriahkan muktamar kita, menyuntik semangat
dan merapatkan saf angkatan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi
rahmat Allah kepada seluruh alam, ketika seluruh dunia merayu kepada
penyelamat, kerana dilambung gelombang krisis kemanusiaan dalam segala
lapangan.
3. Negara kita juga tidak terkecuali dalam keadaan yang
sama. Cukuplah rakyat menjadi saksinya, apabila UMNO yang menjadi
tunjang Barisan Nasional, culas dalam melaksanakan amanah, tidak
menepati janji – dengan jelasnya tidak menghormati perjanjian hasil
petroleum di negeri-negeri sehingga tergamak menindas majoriti rakyat
beragama Islam di negeri Kelantan dan Terengganu khususnya, dengan
menafikan hasil minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT.
4.
Pertumbuhan ekonomi negara pula dijana dengan bebanan hutang RM502
billion, iaitu menghampiri siling 55 peratus nisbahnya kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) negara manakala defisit fiskal telah melepasi
15 tahun berturut-turut. Ini memberi makna, bahawa kerajaan UMNO-BN
telah berbelanja besar dari pendapatan sejak sekian lama. Sedangkan,
Bank Dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara antara yang
paling kaya dari segi jumlah sumber per kapitanya. Inikah contoh
perbelanjaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional ? Inilah hakikat yang
kita saksikan di depan mata kita sendiri pada hari ini. Semuanya ini
dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada kesejahteraan hidup generasi
yang akan datang.
5. Kita juga saban ketika dihidangkan dengan
skandal yang sarat dengan berbagai penyelewangan. Terkini, Laporan Audit
Negara 2011 membuat pendedahan Projek Rumah keluarga Angkatan Tentera,
di mana bajet yang digunakan adalah hampir RM1.3 billion kerana
menyimpang dari kos asal hasil dari perlbagai kelemahan, selain dari
kelemahan sistem runding-terus yang juga mendapat kritikan dari Ketua
Audit Negara.
6. Keseluruhan kuasa politik lebih 50 tahun ini
telah disyaitani menusia yang menganggap dirinya maha suci daripada
segala kesalahan dan kelemahan, jauh sekali dari keinsafan, walau pun
terdedah dengan nyata kezaliman di sana-sini, pentadbiran yang
bercelaru, sistem ekonomi tidak mensyukuri nikmat dan mengula-gulakan
rakyat tanpa penyelesaian masalah sebenar. Merebaknya penyelewengan,
maksiat dan jenayah besar dan kecil tanpa undang-undang yang mendidik
rakyat dan menakutkan penjenayah yang degil.
7. Ketika ini kita
berada dalam lingkungan alam yang tetap berubah, walaupun di bawah
kerajaan yang berselindung di sebalik tembok besi paling kebal dalam
sejarah manusia, namun tetap akan menemui ajalnya mengikut pusingan alam
dunia. Allah menjadikan kerajaan ini silih berganti untuk menguji kita,
kita diajar bahawa tidak ada kerajaan yang kekal dan mutlak melainkan
kerajaan Allah SWT.
8. Kita perlu meyedari bahawa politik adalah
ujian terhadap manusia, sama ada menegakkan kerajaan yang diredhai Allah
apabila menegakkan Islam yang adil terhadap semua atau mendapat
kemurkaannnya kerana memilih yang lain daripadanya. Dalam hal ini, PAS
sangat komited untuk memacu perubahan ke arah mendapat keredhaan Allah
SWT, menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, dengan keanjalan
sistem Islam yang sesuai di sepanjang zaman dan tempat dengan merujuk
kepada al-Quran, Sunnah, Ijma‟ dan Qiyas berdasarkan aqidah ahlus-Sunnah
wal-jamaah; serta berpandukan kepada fiqhus-siyasah dalam tindakannya.
9.
Inilah yang menjadi teras perjuangan PAS, setelah kita melihat UMNO
yang menjadi parti teras Barisan Nasional gagal untuk mendaulatkan Islam
dan telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada rakyat
keseluruhannya sehingga berulat dengan rasuah ribuan juta ringgit, dan
terkini rasuah politik RM40 juta di Sabah, salah guna kuasa,
ketidakadilan dalam masyarakat dan sebagainya. UMNO juga gagal
memperkasakan orang Melayu dengan Islam, selain dari gagal menunjukkan
contoh Islam yang sebenar kepada rakyat, dengan membiarkan orang Islam
dalam negara ini dicabar dan diperkotak-katikkan dengan hujah yang
biadap oleh pimpinan MCA yang menjadi sekutu rapat UMNO dalam Barisan
Nasional.
10. Dalam masa yang sama, UMNO juga mempergunakan
kalangan tertentu ulama sebagai terompah yang dipakai ke sana-sini, jauh
sekali berbeza dengan PAS yang membawa konsep kepimpinan ulama dalam
menentukan halal-haram tindakan dan dasar perjuangannya. Ahli-ahli PAS
juga berbeza dengan UMNO-BN, dengan kita menjadikan maqasid-siyasi ini
sebagai amanah untuk mendaulatkan syariat Islam, bukannya menjadikan
peluang pemerintahan untuk berebut pangkat dan harta negara.
Hadirin dan hadirat sekelian,
TEMA MUKTAMAR
11.
Pada hari ini, PAS menyambung kerja dakwah – tarbiyah – siyasah,
mengajak rakyat dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.
Muktamar yang lalu kita kemukakan tema: MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN.
Ramai kalangan lawan dan pemerhati tersalah anggap, sehingga membuat
kenyataan terbuka, bahawa PAS sudah menyeleweng daripada matlamat
perjuangan menegakkan Islam. Anggapan ini adalah kerana mereka tidak
memahami bahasa al-Quran dan terpengaruh dengan bahasa asing “welfare
state” yang menafsirkan kebajikan dengan makna yang sempit.
12.
Maka bagi muktamar kali ke-58 ini, dikemukakan tema: NEGARA BERKEBAJIKAN
TERAS PERPADUAN. Tema ini dikemukakan kerana perpaduan umat menjadi
cabaran terkini diseluruh dunia, di negara masing-masing atau
diperingkat antara negara dan bangsa. Perpaduan dalam negara kita pula
tidak akan wujud dengan laungan 1Malaysia yang diselang-selikan dengan
tiupan angin perkauman sempit dan tindakan yang menekan rakyat berbilang
agama dan bangsa yang wujud dalam negara kita. Perpaduan dan rahmat
inilah yang menjadi tujuan kepada Islam, sebagai risalah akhir zaman
oleh Rasulullah SAW yang berbeza dengan para rasul sebelumnya. Allah
berfirman :
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau
(Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(al-Anbiya’ : 107)
13. Kebajikan adalah tajuk kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Baca dan fahamilah firman Allah :
Maksudnya
: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah)
kepada الخير (kebajikan), dan menyuruh berbuat segala perkara yang
makruf (baik), serta melarang daripada segala yang munkar (buruk dan
keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang
berjaya.(al-Imran :104)
14. Para ulama tafsir al-Quran menegaskan
bahawa الخير (kebajikan) itu ialah seluruh ajaran Islam yang dibawa dan
dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan maksud Islam yang sempurna dan
ajarannya yang menyeluruh. Ini dihuraikan secara terperinci oleh
al-Quran dan Sunnah, di antaranya firman Allah :
Maksudnya : Maka
sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah (paling halus), nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat
zarah (paling halus), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)
[az-Zalzalah :7-8]
15. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap amalan
manusia dikira dan dihisab, sama ada urusan ibadat atau urusan
kehidupan dunia semata-mata, semuanya tetap berkait dengan hukum Islam.
Seterusnya Rasulullah SAW menyenaraikan dengan sabdanya :
سبعةٌ يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: إمامٌ عادلٌ، وشابٌ نشأ في عبادة الله عز وجل،
ورجلٌ قلبه معلقٌ بالمساجد. ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه، وتفرقا عليه، ورجلٌ دعته امرأةٌ
ذات حسنٍ وجمالٍ ، فقال: إني أخاف الله، ورجلٌ تصدق بصدقةٍ، فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما
تنفق يمينه، ورجلٌ ذكر الله خالياً ففاضت عيناه . )متفقٌ عليه(.
(Ada
tujuh jenis manusia, di mana Allah memayunginya pada hari Kiamat nanti,
pada yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungannya : Pemimpin
yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Tuhannya, orang yang
hatinya sentiasa bergantung ke masjid, dua sahabat yang berkasih sayang
kerana Allah, seorang yang bermoral sehingga diajak oleh wanita yang
rupawan dan bangsawan melakukan maksiat, lalu dia menolak kerana
takutkan Allah, seorang yang terlalu pemurah memberi sumbangan dan
seorang yang berzikir ingatkan Allah di tempat sunyi sehingga berlinang
matanya)
Hadirin dan hadirat sekelian,
16. Kebajikan pertama
ialah pemimpin yang adil yang disebut siyasah (politik) mentadbir urusan
negara dengan Islam yang adil untuk semua. Maha Adil adalah sifat wajib
bagi Allah dan termasuk di kalangan nama-nama Tuhan (al-Asma al Husna).
Allah mewajibkan berlaku adil kepada hamba Nya dan mengharamkan
kezaliman. Adil dalam pemerintahan negara tanpa mengira kawan dan lawan
adalah kebajikan pertama, kerana besar cabarannya dan hebat
perjuangannya, serta banyak kebajikannya. Seorang penyair Arab
menegaskan :
أحسن إلى الناس تستعبد قلوبهم ... فطالما استعبد الإنسان إحسان
وإن أساء مسيء فليكن لك في ... عروض زلته صفح وغفران
)أبي الفتح البستي(.
(Berbuat
kebajikanlah terhadap manusia, nescaya engkau menundukkan hati-hati
mereka. Maka seringkali manusia itu tunduk kepada kebajikan terhadapnya.
Jika orang yang jahat melakukan sesuatu kejahatan terhadapmu, maka
jadikan sifat yang baik menghilangkan kejahatannya ialah kemaafan dan
keampunan)
17. Konsep adil dalam Islam adalah tawaran PAS kepada
rakyat, kerana dengan keadilan Islamlah maka Islam bangkit mencapai
kejayaan di zaman Islam berdaulat, mentadbir negara awal yang
mengandungi masyarakat majmuk dan masyarakat madani. Risalah ini
dinyatakan oleh Firman Allah :
Maksudnya : Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya
(yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah
dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada
kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.
(an-Nisa’ : 58)
18. Hanya berkebajikan yang berkonsepkan adil
untuk semua dapat menyatukan hati manusia majmuk, mewujudkan perpaduan
tulen, kerana manusia itu adalah makhluk yang bernyawa, berperasaan dan
berakal. Setiap manusia yang saksama akal dan perasaannya tetap menerima
kebajikan yang berteraskan keadilan. Ketepikan manusia yang tamak
haloba yang buruk sifat-sifatnya dan tidak berperi kemanusiaan. Kita
ingin memerintah dengan adil berdasarkan konsep kebajikan yang diterima
secara sejagat tanpa paksaan menganut Islam. Saksikanlah bahawa
perjuangan Rasulullah SAW pada awalnya didukung oleh penganut Islam dan
juga turut disertai oleh kalangan bukan Islam yang menentang kezaliman.
19. Inilah dia seruan dan perjuangan kita dengan pujian Allah SWT kepada orang-orang yang beriman :
Maksudnya
: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia
sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku
adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)
!". Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan
perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu)
dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang
yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi
seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak
dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap
sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang
yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka
hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Fusshilat : 33-36)
Hadirin dan hadirat sekelian,
20.
Maka parti syaitan dan yang dikuasai syaitan di dalamnya, tidak mampu
menegakkan kebajikan yang bernama adil terhadap semua. Marilah kita
menyahut seruan Allah dan melaksanakannya :
Maksudnya : Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum
itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir
kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha
mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah : 8)
21.
Dalam Negara Berkebajikan ini, semua pihak akan berlumba-lumba
melakukan kebajikan, iaitu kebajikan kerajaan terhadap rakyatnya,
manakala rakyat pula membantu kerajaan, maka mewujudkan hubungan saling
mengerjakan kebajikan antara miskin-kaya, majikan-pekerja, dan
sebagainya. Sifat adil yang dilaksanakan dalam Negara Berkebajikan ini
adalah amal kebajikan yang membuahkan kasih sayang di kalangan manusia,
sehingga merapatkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat, serta
menjalinkan hubungan baik di kalangan sesama rakyat, seterusnya menarik
musuh kepada insaf sehingga menjadi kawan dan sahabat yang setia.
22.
Dalam masa yang sama, seluruh pendukung dan ahli PAS mestilah
menghayati dengan bersungguh-sungguh dasar yang dibawa dalam muktamar
kali ini, dengan menjadikan syarat kebajikan dan amalan ikhlas kerana
Allah sebagai paksinya, tidak hanyut dari berpegang kepada Islam yang
menjadi matlamat perjuangan kita, menyusun strategi dan gerakerja secara
tersusun, dan bersedia untuk berdepan dengan rakyat secara terbuka
dalam membawa mesej kita ini.
Hadirin dan hadirat sekelian,
PERUBAHAN GEO-POLITIK ANTARABANGSA
23.
Negara-negara umat Islam di pentas antarabangsa kini sedang berdepan
dengan arus perubahan yang sedang merobah peta politik dunia.
Perkembangan ‟kebangkitan rakyat kuasa rakyat‟ yang sedang melanda dunia
umat Islam telah bermula di Tunisia, Maghribi, Mesir, Libya, Yaman,
Syria hingga hampir seluruh benua Arab. 24. Tidak siapa dapat
menjangkakan rakyat Tunisia berjaya menggulingkan rejim Zine El Abidine
Ben Ali yang sejak berpuluh tahun menafikan hak serta suara kebebasan
rakyatnya sendiri. Dan tidak siapa yang dapat menjangkakan rakyat Mesir
berjaya menggulingkan rejim ‟kuku besi‟ Hosni Mubarak dengan hanya
bersenjatakan ‟Kuasa Rakyat‟ yang turun secara sukarela berdemonstrasi
di jalan-jalanraya di seluruh negara.
25. Perubahan politik ini
semua adalah merupakan ketentuan dan pertolongan dari Allah SWT serta
menjadi peringatan kepada mana-mana pemerintah yang sombong dan angkuh
serta mahu terus menafikan hak dan kebebasan rakyat. Rakyat hanya
mahukan kebebasan dan hak bersuara mereka dihormati dan bukannya mahukan
kekayaan sepertimana dimiliki oleh pemerintah yang zalim ini.
26.
Umat Islam juga sedang memasuki alaf baru dengan penuh ujian dan
cabaran. Di era globalisasi ini, kedudukan umat Islam terus dihimpit
dengan pelbagai tekanan dan ujian yang begitu mencabar. Di mata dunia
antarabangsa, maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga
dan nilai. Lihat sahajalah apa yang terus berlaku di bumi Palestin, di
Afghanistan, Iraq dan terkini di Syria, seolah-olah harga nyawa umat
Islam lebih murah dari haiwan yang hina.
27. Konflik yang sedang
berlaku di Syria amat menyentuh hati dan perasaan kita. Pertumpahan
darah dan penderitaan penduduk awam Syria sehingga kini tidak
menampakkan jalan penyelesaian. PAS ingin menegaskan sikapnya bahawa
konflik di Syria tidak boleh sekali-kali diselesaikan dengan
campurtangan kuasa luar terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya.
Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukannya melalui suara rakyat
tanpa sebarang campurtangan asing yang mempunyai kepentingan strategik.
Semua pihak perlulah memberikan tekanan secara berterusan dan berkesan,
supaya perubahan kepada demokrasi sebenar boleh berlaku dengan
dicorakkan oleh rakyat mereka sendiri.
28. Saya menyeru seluruh
masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum serta seluruh
masyarakat antarabangsa, agar menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada
ratusan ribu penduduk awam Syria yang menjadi mangsa tragedi berdarah
ini.
29. Di bumi Palestin, serangan serta pencerobohan tentera
Zionis ke atas bumi suci ini terus berlaku tanpa batasan. Mereka
mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi
kemanusiaan serta melakukan satu jenayah perang yang amat besar. Mereka
juga secara terancang dan terangan melakukan pencerobohan terhadap
Masjid al-Aqsa dan terus mendirikan kawasan penempatan di tanah yang
dicerobohi oleh kerajaan Zionis ini.
30. Apa yang lebih memalukan
lagi adalah sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam masih di
kongkong dengan tekanan hegemoni Zionis. Badan-badan antarabangsa
seperti Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
kesemuanya membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan
oleh tentera Zionis ini. Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan
padu PAS terhadap intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah
(Hamas) di bumi suci Palestin. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta
pembebasan Masjid Al-Aqsa yang merupakan Kiblat pertama umat Islam kekal
menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa.
Hadirin dan hadirat sekelian,
PERKEMBANGAN DI RANTAU ASEAN
31.
PAS juga amat tersentuh dengan apa yang berlaku ke atas saudara-saudara
kita di Wilayah Rakhine, Myanmar. Kita ingin mengajak semua pihak agar
menunjukkan rasa simpatinya terhadap bencana yang dialami oleh penduduk
Islam Rohingya. Tindakan zalim yang dilakukan oleh rejim Myanmar
terhadap umat islam Rohingya adalah di luar batas peri kemanusiaan
dengan membunuh, membakar kediaman serta meroboh masjid yang merupakan
suatu tindakan tidak bertamadun.
32. Dalam hal ini, PAS merasa
sangat kesal dengan sikap berdiam diri yang ditunjukkan oleh kerajaan
Malaysia pimpinan UMNO-BN yang gagal mengecam dan mengambil langkah
drastik dalam membantu menyelesaikan isu ini. PAS juga merasa kecewa di
atas sikap membisu pejuang demokrasi rakyat Myanmar, Aung Sang Su Kyi
yang enggan menyatakan pendirian yang jelas untuk mengutuk kezaliman dan
sikap tidak perikemanusiaan yang dihadapi oleh komuniti Rohingya.
33.
Berikutan dengan perkembangan damai di Selatan Filipina, PAS
mengucapkan tahniah di atas persetujuan damai awal di antara kumpulan
pemisah Front Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang
dicapai baru-baru ini. Ianya merupakan langkah awal ke arah mewujudkan
keamanan wilayah autonomi dan boleh memberi manfaat kepada rakyat
terbanyak di Mindanao. PAS berharap, perdamaian ini benar-benar
terlaksana dan diambil kesempatan untuk mengisi perdamaian dengan
membangunkan kembali wilayah yang telah lama bergolak itu. 34. Dalam
masa yang sama, PAS juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang
terlibat dalam menjayakan persetujuan damai tersebut, termasuk juga dari
kalangan pimpinan PAS sendiri yang tidak putus-putus terus memberi
bantuan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan Islam Moro sejak
berpuluh-puluh tahun yang lalu melalui pengasas MILF al-Marhum Ustaz
Slamat Hashim.
35. PAS juga, menyeru kepada kerajaan-kerajaan di
rantau ini mengambil pedoman di atas kejayaan tersebut bagi mewujudkan
perdamaian yang adil kepada rakyat di wilayah-wilayah yang bergolak
seperti di Selatan Thailand dan Wilayah Rakhine, Myanmar. PAS ingin
membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar konflik
ini di hentikan segera. Tiada penyelesaian kecuali kembali ke meja
rundingan dan mencari jalan damai.
36. Sekali lagi saya ingin
tegaskan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk menjadi „jambatan‟ bagi
mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang tidak berkesudahan ini
sepertimana sumbangan dan penglibatan penting PAS dalam membantu
menyelesaikan konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan
pemerintah Indonesia dan juga dalam proses damai antara MILF dan
kerajaan Filipina.
Hadirin dan hadirat sekelian,
PAS : GERAKAN ISLAM PENYAMBUNG PERJUANGAN
37.
Kita juga ingin mempertegaskan bahawa PAS adalah merupakan mata-rantai
gerakan Islam yang wujud sejak sekian lama, untuk membawa mesej Islam
dengan mempunyai komponen tarbiyah, dakwah dan politik. Kita wujud
sebagai satu kesinambungan dari perjuangan menentang penjajah yang
dipimpin oleh para ulama terdahulu seperti Sheikh Wan Ahmad Mohd Zain
Fathani yang menubuhkan Jami’atul Fathaniyah pada tahun 1873 di Makkah,
telah disambung oleh murid beliau seperti Raja Ali Kelana dan Syed
Sheikh al-Hadi yang menubuhkan Jami’atul Rusyidiyah di Riau pada tahun
1880. Pengaruh Riau inilah mendorong penubuhan Jami’atul Khairiyah di
Betawi pada 1904, sebelum ditubuhkan Sarekat Dagang Islam pada 1905 yang
kemudiannya dikenali sebagai Sarekat Islam ketika dipimpin oleh Tjoakro
aminoto pada 1912. Pengaruh Sarekat Islam sebagai sebuah pertubuhan
politik Islam berkembang di Tanah Melayu semenjak tahun 1919 apabila
cawangannya wujud di Singapura, Johor, Baserah - Pahang, Terengganu,
Kelantan, Patani dan Pulau Pinang. Antara tokoh penting Sarekat Islam di
Tanah Melayu ialah Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong yang memimpin
pemberontakan ke atas British antara tahun 1924 hingga 1928; iaitu lebih
awal dari pergerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh As-Syahid Imam
Hassan al-Banna pada tahun 1928 di Mesir.
38. Sepanjang tempoh
itu, sehinggalah kewujudan PAS secara rasmi pada tahun 1951, kita telah
mengalami pasang-surut pengalaman terlibat dalam sistem demokrasi
pilihanraya. PAS menjadi gerakan Islam terawal yang berpeluang
memerintah melalui sistem demokrasi seawal 1959, kerajaan campuran
1970-an, kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah 1990 dan 1999, Pakatan Rakyat
2008, di mana sikap keterbukaan para ulama PAS lah yang membuka ruang
PAS melaksanakan ijtihad Tahaluf Siyasi dalam arus politik tanahair kita
sehingga membolehkan PAS berhubung dan bekerjasama dengan kalangan
bukan Islam yang terdiri dari 40% rakyat di negara kita ini.
39.
Hasilnya kita menjadi parti yang turut sama memerintah negara, menjadi
pembangkang, ahli dan pimpinan diburu dan dipenjarakan, digulingkan
kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1961 dan Perak tahun 2010,
membentuk kerajaan h dan turut menggubal undang-undang Islam di
peringkat negeri, dan sebagainya yang mewarnai perjuangan PAS dalam
suasana serta waqi‟ yang tentunya mempunyai fiqh-aulawiyat yang sangat
berbeza dengan rakan-rakan di Asia Barat dan Turki.
Hadirin dan hadirat sekelian,
40.
Sifat anjal yang dimiliki oleh PAS membolehkan kita mengambil
pengajaran yang baik dari kemenangan rakan-rakan kita di Asia Barat
dalam tempuh setahun-dua ini, tetapi kita juga tidak boleh sekali-kali
berundur dalam dasar dan tindakan kita yang telah berjaya melunakkan
fikrah masyarakat di negara kita ini berbanding tahun-tahun yang lalu.
Natijahnya ialah, tidak salah untuk kita mengambil mana-mana pengajaran
yang baik, tetapi hendaklah dilakukan dengan ilmu dan bukannya
mengkagumi atau menjadi pengikut secara semberono tanpa melihat suasana
masyarakat dan waqi‟ di tempat kita yang sudahpun jauh berubah
berbanding dengan suasana di Asia Barat.
41. PAS tetap memilih
demokrasi menyertai pilihanraya sebagai wasilah, dari dahulu hingga
kini, walau pun berdepan dengan demokrasi tanpa moral yang menjadi
senjata UMNO-BN yang memegang tampuk pemerintahan sekian lama di negara
kita ini. Merekalah yang menafikan hak rakyat untuk menjadi hakim secara
adil dan melakukan muhasabah kepada pimpinan kerajaan. Walau
bagaimanapun, kita yakin bahawa rakyat boleh dibangkitkan dengan
kesedaran membawa perubahan.
42. Dalam urusan politik, pintu
ijtihad tidak boleh ditutup walau pun tidak ada lagi pemimpin setaraf
para sahabat terdahulu dan tokoh ulama mujtahidin di zaman awal. Namun
Ijtihad secara jama‟ei tetap berlangsung, maka PAS mewujudkan Majlis
Syura Ulama yang menjamin keteguhan kita di atas Dasar Islam, Aqidah,
Syariat, Akhlak dan Nizam (Sistem), beristiqamah dengan undang-undang
tubuh PAS. Sehingga kini alhamdulillah, PAS tidak pernah rugi dalam
semua langkah politiknya. Maka ahli-ahli PAS jangan sekali-kali terasing
daripada Jamaah Islam ini. Dengarlah amaran Rasulullah S.A.W. :
إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ الْإِنْسَانِ كَذِئْبِ الْغَنَمِ يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ
- مسند أحمد )ج 54 / ص 31 )
(Sesungguh
syaitan itu laksana serigala terhadap manusia, seperti serigala yang
menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya)
Hadirin dan hadirat sekelian,
ILTIZAM POLITIK
43.
Islam menentang kezaliman politik, kerana daripadanya dilahirkan segala
kezaliman yang lain. Islam menentang semua kerajaan bersifat diktator
secara individu, kumpulan (al-Mala‟), bahkan Islam menolak kalangan
pemimpin agama yang berselindung disebalik suruhan Tuhan atau pimpinan
agama yang melaksanakan pemerintahan Teokrasi mengikut fahaman Barat
sehingga bertindak zalim terhadap rakyat dan negaranya sendiri.
44.
Kesemua para Anbiya‟ A.S. adalah membawa Islam beraqidah tauhid
menentang syirik dengan makna yang luas, melawan syirik yang berkonsep
pemujaan kepada mana-mana atau sesiapa dikalangan makhluk dalam urusan
ibadat dan cara hidup, dengan konsep ad-Din yang tidak ada pemisahan
politik daripada urusan beribadat kepada Allah. Maka Islam juga
menentang pemujaan makhluk manusia yang memerintah dengan zalim dan
membodohkan rakyat.
45. Perjuangan Rasulullah SAW menjadi sunnah
Fiqh politik yang diamal oleh kerajaan Islam dan kumpulan Islam yang
melangsungkannya disepanjang zaman, berasaskan hukum Islam yang adil
terhadap semua. Ada kalangan yang masuk Islam dan ada kalangan yang
hanya menerima kerajaannya yang berkonsepkan adil terhadap semua rakyat,
sehingga kelahiran tamadun Islam yang unggul melibatkan masyarakat
majmuk.
46. Politik Islam mewujudkan perpaduan masyarakat majmuk yang tidak mampu dilaksanakan oleh ajaran lain. Allah berfirman :
Maksudnya
: Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan
sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka
berkata: "Tuhan kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong
setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya
runtuhlah tempat-tempat pertapaan, serta gereja-gereja (kaum Nasrani),
dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid
(orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan
sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama
Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Haj : 40)
Hadirin dan hadirat sekelian,
47.
Pendedahan sejarah sebelum tegaknya masyarakat dan negara sebelum Islam
yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. menunjukkan mana-mana kaum dan
penganut agama yang menang mesti menindas pihak yang lain dengan zalim
dan ganas.
48. Islam yang memerintah di Madinah dan selepasnya
memberi hak yang adil kepada masyarakat majmuk mewajibkan perpaduan di
kalangan masyarakat penganut Islam dan masyarakat manusia seluruhnya.
Piagam Madinah adalah satu perjanjian di antara kerajaan dan rakyat
masyarakat majmuk yang bersejarah dan menjadi panduan kepada kerajaan
Islam yang adil selepasnya.
49. PAS juga sudah bersedia untuk
bersama memerintah negara Malaysia ini, bersama rakan Pakatan Rakyat,
bagi memikul dan melaksanakan amanah. Maka PAS mengadakan Tahaluf
Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam
persamaan dan tidak memaksa dalam perbezaan. Secara bersama,
permuafakatan Pakatan Rakyat telah mengisytiharkan resolusi :
1. Islam Agama Persekutuan dan memberikan hak yang adil kepada agama-agama lain untuk diamalkan di Malaysia.
2. Hak Istimewa Bumiputra dan melaksanakan hak yang adil kepada semua kaum.
3. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menerima hak bahasa ibunda berbagai kaum.
4. Kedudukan Raja berperlembagaan.
50.
Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus
bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif dalam
mengurus pentadbiran negeri dan negara. Dalam masa yang sama, setiap
ahli PAS yang berada dalam lingkungan pentadbiran dan pemerintahan
kerajaan ini juga perlulah memahami fiqh-aulawiyat, maqasid syariah,
serta bertegas dalam perkara dasar selari dengan Perlembagaan PAS itu
sendiri. Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya mengaburkan kefahaman
ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita sendiri.
Hadirin dan hadirat sekelian,
PENDEKATAN EKONOMI
51.
Dunia menyaksikan kejatuhan komunisme yang menolak agama semuanya,
manakala ekonomi berdasarkan kebendaan semata-mata menjadi tuhan yang
disembah. Manusia laksana alat jentera, jasad yang tidak ada roh, akal
yang tidak berpanduan. Kini pula dunia sedang menyaksikan keruntuhan
ideologi Liberal Kapitalisme yang juga bertuhankan kebendaan dan agama
menjadi sampingan yang tidak bermaya, sehingga kebebasan ekonomi tanpa
kawalan roh dan hati nurani tanpa perhitungan dosa dan pahala.
52.
Suasana ini membarahkan politik menipu dan ekonomi berpusing kekayaan
di kalangan kelompok tertentu, di kalangan ahli politik dan ahli ekonomi
yang bersekongkol dengannya. Seterusnya ini melahirkan Firaun dan Haman
yang menerima rasuah, serta kumpulan Qarun yang mengumpul kekayaan
melalui konsep monopoli tamak haloba secara riba, rasuah dan berbagai
salah laku.
53. Hakikat inilah yang kita lihat sedang berlangsung
dalam negara kita ini. Negara kita yang kaya dengan hasil bumi ini,
akan muflis sekiranya terus berada di tangan kerajaan Barisan Nasional.
Melaksanakan transformasi ekonomi ala Kerajaan BN untuk setanding dengan
negara yang kaya di dunia Barat juga, bukanlah ukuran yang rakyat
inginkan. Nilai ringgit yang ada pula makin menyusut, sehingga duit
bertimbun yang dimiliki tidak memberi apa-apa makna lagi.
54.
Perdana Menteri pernah berbangga dengan Malaysia memilikki 30 bilionaire
yang berkongsi kekayaan sejumlah RM200 bilion. Namun PAS mahu
mengingatkan, bahawa ada billionaire ini yang menanggung hutang korporat
ke paras RM 22 bilion seorang semasa Krisis Kewangan 1997 dulu. Kini
sudah pun di ketahui pasaran kewangan, bahawa antara 30 bilionaire ini,
ada yang berhutang ke paras RM55 bilion dan RM 34 bilion setiap tokoh
korporat, sekaligus mengulangi kesilapan lama.
Hadirin dan hadirat sekelian,
55.
Inilah yang cuba ingin kita perbetulkan, dengan mengambil
langkah-langkah penting ini sekiranya kita diberikan amanah nanti.
Pertama - membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil
dan memakmurkan. Dalam hal ini, dasar fiskal mahupun monetari yang adil
sifatnya, mesti digunakan sebaiknya untuk memacu pertumbuhan; Kedua –
membetulkan pelaksanaannya dengan bersendikan akhlak dan perkiraan
dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mampu
mencegah, dan seterusnya mencegah pembaziran, ketirisan, penyelewangan
serta rasuah; Ketiga – membuat penilaian menyeluruh terhadap hasil
negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan
dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat. Keempat – menolak
diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan
tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik – negeri - wilayah;
dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar. Ini sekaligus menolak
amalan kronisme dan monopoli pasaran tempatan, dengan memperkenalkan
akta-akta bagi mengikat kewujudan „kartel‟ yang bertindak menekan
rakyat.
56. PAS menegaskan bahawa tanggungjawab pemerintahan dan
memakmurkan bumi ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan
hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan,
bahkan pada kekemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab
kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, mentadbir khazanah kekayaan negara
dan mengurus kewangan secara bijak serta menjadikan pengurusan ekonomi
dan membangunkan harta atau „Hifzul Mal‟, adalah termasuk dalam
perkara-perkara penting yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah
Negara Berkebajikan.
57. Kedatangan Islam pula menyaksikan sejak
awalnya pelaksanaan Islam memerintah negara, dilaksanakan dalam kegiatan
ekonomi yang penting bagi seluruh manusia sejagat, bukan sahaja kepada
penganut Islam. Dalam perkara ibadat wajib berbeza, dalam perkara
muamalat wujudnya pergaulan yang adil di kalangan masyarakat majmuk.
58.
Apabila konsep Ihya al-Mawat memiliki tanah pertanian dan kebebasan
perdagangan tanpa belenggu yang zalim, diberi hak kepada seluruh
kegiatan ekonomi rakyat termasuk kepada penganut bukan Islam dalam
perkara yang dizinkan oleh agama mereka dan diharamkan oleh Islam, yang
akhirnya menyebabkan rakyat tertindas berbagai kaum menerima pentadbiran
Islam.
59. Konsep zakat adalah kebajikan pengumpulan hasil dan
pengagihannya yang adil secara ibadat bagi penganut Islam sepanjang
hidup, walau pun tanpa diurus oleh kerajaan tetapi zakat tetap
diwajibkan ke atas penganut Islam dan tidak wajib bagi penganut bukan
Islam. Seterusnya dipanjangkan dalam konsep mengendalikan sistem
percukaian yang tidak berkait dengan ibadat kepada penganut bukan Islam,
samada sumber asli atau percukaian ke atas kegiatan ekonomi rakyat.
Ianya diambil daripada mereka yang berada, tidak membebankan rakyat
miskin dan menganggur. Mengagihkan harta untuk rakyat dengan konsep adil
terhadap semua dan perbelanjaan urusan kerajaan yang tidak bakhil dan
boros. Zakat wajib dikekalkan kerana ibadat harta bagi penganut Islam.
Ada pun cukai boleh dihapuskan apabila tidak memerlukan.
60.
Dalam pengagihan sumber zakat, para ulama bersepakat diutamakan penduduk
di daerah zakat diambil, maka begitulah juga konsepnya dalam sistem
pengagihan sumber negara. Bermakna kerajaan pusat tidak boleh
sewenang-wenangnya mengangkut hasil mana-mana wilayah, tanpa menilai
sepenuhnya keperluan kesejahteraan hidup di wilayah berkenaan.
Rasulullah S.A.W. bersabda :
الناس شركاء في ثلاثة , الماء والنار والكلأ
[Manusia itu bersyarikat dalam tiga perkara (menjadi keperluan umum) iaitu air , api dan padang ragut]
Hadirin dan hadirat sekelian,
61.
Konsepnya ialah, keperluan umum hendaklah dikawal oleh kerajaan supaya
tidak ada kalangan yang mengambil kesempatan bagi diri mereka dan kroni
daripada perkara yang menjadi kepentingan umum. Maka keperluan umum
sudah tentu berubah mengikut peredaran zaman, sehingga dipanjang dalam
perkara-perkara yang lain seperti pendidikan, kesihatan dan segala
kemudahan awam yang lain.
62. Bahkan di zaman negara Islam yang
bertamadun berjaya diwujudkan penginapan dan khidmat percuma untuk para
musafir yang dinamakan Musafir Khanah. Di sinilah maka cukai yang
membebankan rakyat seperti tol boleh dihapuskan, pendidikan percuma dan
rawatan percuma boleh dilaksanakan.
63. Bagi mengurang beban kos
saraan hidup seharian ketua isi-rumah, pendekatan yang wajar adalah
untuk meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟ dan bukan dengan
pemberian „one-off‟ secara bermusim. Mengurangkan kos utiliti seperti
air dan elektrik, kesihatan, pelajaran, pengangkutan serta keperluan
makanan asas jelasnya akan meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟
ketua isi-rumah serentak mengangkat kehidupan yang lebih bermakna dan
tidak hanya bergantung kepada subsidi dan „pemberian‟ one-off yang
diamalkan oleh kerajaan UMNO-BN secara bermusim.
64. Kebajikan
negara disumbangkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama,
maupun faktor kedudukan geografi wilayah jauh atau dekat; semuanya
dinilai kepada tahap keperluan memenuhi kesejahteraan hidup rakyat
terlebih dahulu. Natijahnya menjalinkan hubungan yang baik di antara
kerajaan dan rakyat, dan di kalangan rakyat majmuk. Keadaan yang berbeza
dengan kerajaan sebelumnya samada di kalangan bangsa sendiri, atau
penjajah yang menakluk. Maka kedatangan Islam diterima dengan rela hati
oleh seluruh rakyat tempatan. Di sinilah menunjukkan kepada kita, betapa
luasnya contoh jalan penyelesaian yang diberikan oleh Islam apabila
kita terbuka mendengar dan bersedia untuk melaksanakannya.
Hadirin dan hadirat sekelian,
MEMBANGUN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN
65.
PAS berkewajipan memperkenalkan agenda pembangunan insan yang
sebenarnya mengikut acuan Allah Pencipta manusia dan seluruh alam.
Kegagalan sistem pendidikan menjadikan negara dan bangsa ketinggalan,
lemah dan hina.
66. Pendidikan adalah pembangunan insan, mestilah
mengikut acuan kejadian manusia yang ditetapkan Allah mengikut
fitrahnya. Kemusnahan tamadun umat terdahulu yang hebat kerajaan dan
bangunannya adalah kerana tidak membangun insan mengikut fitrahnya,
sehingga tidak melaksanakan tugasnya dengan baik dan adil di bumi Allah,
berlaku kezaliman bukan sahaja terhadap rakyat yang lemah ditindas,
bahkan terhadap ilmu. Tokoh-tokoh ilmuan dihapuskan setelah mencapai
kejayaan yang disumbangkan kepada negara dan bangsanya supaya tidak
dipindahkan kepada pihak lain atau dianggap mencabar kedudukan pemimpin.
Ada ahli falsafah yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya.
Keadaannya lebih melampau apabila menolak para Rasul yang dipilih oleh
Allah dengan ilmu wahyu.
67. Tamadun bangsa – bangsa tersebut
masih ada peninggalan sejarahnya yang boleh dilawati untuk diambil
iktibar, bahawa pembangunan dengan ilmu sains dan teknologi tanpa
hidayah kepada akal dan pembangunan rohani di dalam jasadnya berakhir
dengan kemusnahan. Kini kita sedang menyaksikan tanda bermulanya
kemusnahan tamadun barat yang menjadi senjata kezaliman terhadap diri
manusia dan alam sekitarnya.
68. Inilah yang sedang kita lihat
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang
dibentangkan oleh kerajaan BN. Visi sistem pendidikan yang dicadangkan
itu gagal diberikan roh pegangan agama yang tulen kepada pelajar untuk
berdepan dengan cabaran krisis akhlak di masa depan; sementara pihak
kerajaan pula yakin menjadikan pencapaian akademik negara maju tertentu
sebagai kayu pengukur maju atau tidaknya sistem pendidikan itu sendiri.
Guru-guru pula berdepan dengan satu lagi eksperimen baru, yang terus
memberi tekanan baru kepada bidang perguruan, akhirnya guru menjadi
mesin yang bukan lagi melaksanakan peranan mendidik generasi akan
datang. Terkini ialah tindakan kerajaan memperkenalkan sistem Pengurusan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah, walaupun ada kebaikannya tetapi
melaksanakannya secara separuh masak tanpa menyediakan infra tenaga
tambahan yang mencukupi akan hanya mendera guru-guru yang terlibat.
Selain dari itu, bidang pendidikan Islam terus berada di luar arus
perdana, ditambah pula dengan cadangan untuk kononnya memperkukuh
Pendidikan Islam dan Moral dengan memberi lebih fokus ke atas “teras
nilai” dan “falsafah agama utama” menjelang 2017 adalah satu kenyataan
yang membawa masuk fahaman liberalisme dan mengenepikan semangat agama
Islam sebagai agama persekutuan.
69. Maka PAS berkewajipan
membetulkan acuan pendidikan membangun insan. Mengembalikan semula dasar
dan konsep pendidikan Islam, membangun insan merangkumi kewajipan dunia
dan akhirat, dalam perkara fardu „ain dan fardu kifayah, bagi urusan
dunia dan akhirat. Menegakkan kemerdekaan yang sebenarnya bagi rakyat,
supaya bebas daripada pemikiran penjajahan yang masih ada sama ada kesan
penjajah asing atau penjajah dalaman sendiri yang menghilangkan jati
diri manusia yang berkemampuan dengan aqidah, akhlak dan kebijaksanaan
ilmu.
70. Peranan bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa
wajib diperkasakan menjadi bahasa ilmu dan pentadbiran negara dan
perpaduan rakyat, bersama bahasa ibunda kepada semua kaum dan
menggalakkan pengajian bahasa asing bagi menimba ilmu yang bermanfaat
daripada mana-mana sahaja, kerana sabda Rasulullah S.A.W. :
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها . )ابن ماجه(.
(Kebijaksanaan
itu laksana barang tercicir kepunyaan seorang yang beriman, maka di
mana sahaja dia menemuinya, hendaklah dia memungutnya).
71. PAS dalam
kerajaan Pakatan Rakyat wajib memastikan tidak ada kalangan rakyat yang
tercicir daripada pendidikan, mengikut tahap kemampuan masing-masing,
sekurang-kurangnya fardu „ain bagi setiap orang dan diperingkat fardu
kifayah dalam urusan agama dan dunia sebanyak-banyaknya. Peruntukan
kewangan pula wajib disediakan oleh kerajaan dengan secukup – cukupnya
dalam kemudahan ini, sebagai melaksanakan tanggungjawab menyediakan
pendidikan kepada rakyat.
72. Mengikut Islam, sesebuah kerajaan
itu tidak rugi termasuk dari segi kewangan dengan memperkenalkan
pendidikan percuma, bahkan memberi pulangan hasil negara yang meningkat
dengan kewujudan rakyat yang dibina insannya dengan saksama dapat
menambahkan hasil negara. Segalanya berlaku apabila rakyat berilmu,
beriman dan budiman. Rakyat tidak menjadi bodoh yang tidak berguna atau
pun cerdik menipu tidak boleh ditumpang.
Hadirin dan hadirat sekelian,
KOMITMEN PAS UNTUK RAKYAT
73.
PAS juga bersedia untuk menerima amanah sebagai komponen kerajaan Pusat
atau pun negeri bersama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang
akan datang ini. Kita percaya bahawa dengan sokongan rakyat dan keahlian
PAS yang merangkumi berbagai bidang kepakaran, selain dari kalangan
teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat,
kita bersedia untuk menunaikan amanah yang lebih besar ini.
74.
PAS percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat
akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan
amanahnya kepada kita. Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk
berubah kepada yang lebih baik. Maka sekiranya kita gagal melaksanakan
amanah itu, rakyat bolehlah menghukum kami dalam pilihanraya yang
seterusnya
75. Komitmen besar PAS ini memberikan suatu jaminan
bahawa jentera kerajaan Pusat atau Negeri yang terdiri dari pegawai
berbagai peringkat ini tidak akan dizalimi atau dibalas dendam, kerana
merekalah yang akan melaksanakan dasar kerajaan semasa yang dipilih oleh
rakyat. Hubungan yang baik dengan institusi Raja berpelembagaan akan
dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat yang kita
ikrarkan.
76. Sekiranya diberikan amanah ini, maka PAS juga akan
mengusulkan supaya dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan
kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), instituti
pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia, pasukan Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) dan sebagainya. Perjalanan pilihanraya yang lebih adil
dan bebas akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah kita
sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi
yang sihat.
Hadirin dan hadirat sekelian,
77. Kepada
rakyat bebagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak pula, marilah kita
sama-sama bangunkan negara Malaysia ini secara bersama bergandingan
tenaga dengan penuh adil dan saksama. Hak rakyat peribumi Sabah dan
Sarawak yang dijanjikan akan dilaksanakan, selain dari komitmen bersama
Pakatan Rakyat menerusi deklarasi penting semasa kita menyambut
ulangtahun Hari Malaysia pada 16 September yang lalu. Hasil kekayaan
bumi royalti minyak sebanyak 20 peratus akan dipulangkan kepada rakyat
Sabah dan Sarawak.
78. Selain dari melaksanakan tekad kita
bersama Pakatan Rakyat sebagaimana yang sama-sama kita rangkakan dalam
Buku Jingga, PAS juga ingin melebarkan komitmen untuk membaiki kerosakan
yang ada dalam negara kita sekiranya diberi ruang untuk ke Putrajaya,
selain dari iltizam untuk sama-sama membangunkan negara kita ke arah
yang lebih baik menerusi MANIFESTO khusus yang akan dibentangkan kepada
rakyat bila tiba masanya yang sesuai nanti.
79. Antara intipati
terpenting komitmen PAS ialah, untuk memartabatkan Islam sebagaimana
yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf dan
mengupayakan peranan generasi muda, meningkatkan dan mengiktiraf peranan
wanita, membela dan memajukan golongan petani, meningkatkan
kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan tanpa membebankan rakyat, agenda
khas ekonomi dan pengurusan kewangan, memperkenalkan keadilan sistem
pendidikan, memperkenalkan seni-budaya yang memartabatkan nilai hidup
insan, dan sebagainya.
80. Selain dari komitmen yang dinyatakan
tadi, PAS juga berkongsi nasib yang menimpa peneroka luar bandar yang
ada di waktu ini. Peneroka luar bandar khususnya berbangsa Melayu yang
terdiri daripada 112 ribu peneroka dan lebih 1 juta warga Felda terdiri
daripada peneroka, keluarga dan kakitangan Felda. Sebarang tindakan yang
dilakukan terhadap Felda akan memberi kesan yang besar kepada kelompok
mega rakyat Malaysia ini.
81. Kita sama-sama lihat, bahawa
sejurus selepas Felda di senaraikan di Bursa Malaysia melalui anak
syarikatnya Felda Global Ventures (FGV), ia menjadi satu detik hitam
kepada warga Felda keseluruhannya. Aset Felda yang berupa tanah, ladang
dan pelbagai aset lain yang menjadi hak milik bersama warga Felda, kini
sudah dibuka kepada milikan bebas termasuk syarikat-syarikat asing atas
nama penyenaraian. Maka berteraskan amanah membela rakyat, PAS
menyatakan komitmen berterusan untuk menyelamatkan tanah dan seluruh
aset Felda ini dan diagihkan kekayaan tersebut kembali kepada rakyat
sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan nanti.
Hadirin dan hadirat sekelian,
82.
Baru-baru ini juga, pihak kerajaan telah melaksanakan Sistem
Penguatkuasaan Automatik – AES yang telah mula dikuatkuasakan pada 23
September 2012 yang lalu. Membantah perlaksanaan AES tidak bermaksud
kita bersetuju pengguna jalanraya memandu sewenang-wenang tanpa
mengendahkan undang-undang dan peraturan jalanraya.
83. PAS di
bawah Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE], telah membantah
perlaksanaan AES ini kerana terlalu banyak kekeliruan dan kecelaruan
yang timbul dalam perlaksanaannya. Antaranya lokasi pemasangan kamera
AES di tempat-tempat yang tidak sesuai dan tidak munasabah. Cara
penguatkuasaannya pula melibatkan syarikat-syarikat swasta yang akan
mendapat imbuhan hasil berniaga menerusi pembayaran saman-saman oleh
pesalah lalulintas.
84. Alasan bahawa kelajuan adalah penyumbang
utama kemalangan tidak boleh diterima dengan mudah dan
sewenang-wenangnya. Benar, kelajuan adalah antara punca kemalangan
tetapi bukan punca utama. Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia pernah menyebut bahawa 85.74% punca kemalangan adalah
disebabkan faktor manusia, 10.62% disebabkan keadaan persekitaran
manakala 3.64% lagi adalah faktor kenderaan. Faktor manusia inilah yang
memerlukan pendidikan dan pendekatan yang lebih holistik bukan dengan
memasang kamera-kamera untuk menyaman sebagai satu bentuk perniagaan.
85.
PAS juga mengulangi komitmen untuk menilai kembali projek-projek mega
yang sepatutnya memberikan pulangan ekonomi kepada negara tanpa
membebankan rakyat dan alam sekitar. Projek-projek seperti Kilang
Penapisan dan Petrokimia di Pengerang, Johor; sepatutnya dilaksanakan
tanpa melibatkan pemindahan 25,000 penduduk yang menghuni selama puluhan
tahun di 10 buah kampung tradisi, melibatkan pemindahan lebih dari 10
buah sekolah, masjid dan sebagainya. Kita tidak menolak projek ekonomi
seperti ini, tetapi PAS menolak kezaliman di atas nama pengambil alihan
tanah secara tidak adil, pemusnahan ekologi kawasan perikanan, yang
seterusnya menjejaskan mata pencarian hidup rakyat sendiri.
86.
PAS juga mengiktiraf peranan golongan perajurit yang banyak berkorban
untuk negara. Kita akan memperjuangkan supaya Yayasan dan Koperasi
Persatuan bekas-bekas Tentera seluruh Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan
Tentera, Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT) untuk diberi tenaga
baru serta diperluaskan fungsinya, dalam usaha membangunkan ekonomi
tentera dan veteran. Semuanya ini adalah untuk memastikan bantuan
kebajikan berterusan kepada tentera dan veteran sekeluarga terus
terpelihara, selain dari komitmen untuk memberikan bantuan pendidikan
sepanjang hayat kepada tentera, balu tentera dan tanggungan mereka.
Hadirin dan hadirat sekelian,
PILIHANRAYA
87.
Dikesempatan ini juga, PAS ingin merakamkan ucapan terimakasih yang
tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang,
Selangor dan Perak yang telah memberikan amanah kepada kita secara
bersama dalam muafakat Pakatan Rakyat, dan pegawai-pegawai dalam
pentadbiran kerajaan negeri yang telah bekerjasama memahami perlunya
terus bertugas dengan amanah dengan kerajaan semasa iaitu kerajaan
Pakatan Rakyat, dengan matlamat untuk membawa perubahan yang lebih baik
dari kerajaan yang terdahulu.
88. Kita menyedari bahawa sekarang
ini kita berada dihujung tempoh pemerintahan di negeri-negeri yang kita
menangi menerusi pilihanraya umum ke 12 yang lalu, sebelum ianya
diserahkan kepada rakyat untuk menjadi hakim sekali lagi dalam PRU-13
nanti. Tentunya tugas terpenting untuk kita ialah, mempertahankan
negeri-negeri yang kita menangi dengan seluruh gerakerja dan tenaga yang
kita miliki dengan penuh keazaman untuk melebarkan kemenangan sehingga
sampai ke Putrajaya, insyaAllah.
89. Kita juga menyedari bahawa
sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini tidak mencukupi untuk kita
lakukan perubahan yang besar yang kita citakan di negeri yang kita
perintah, kerana dalam masa yang sama kita berdepan dengan konsep
federalisma songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad,
campurtangan dan tekanan secara tidak adil oleh kerajaan pusat terhadap
pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem pentadbiran
menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan kerajaan BN sejak
sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita sendiri yang perlu
dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan masalah secara penuh
hikmah.
90. Kerja-kerja asas pilihanraya yang ada hendaklah
diteruskan tanpa henti, manakala pengarahan gerakerja khusus menjelang
pilihanraya ini akan diberikan oleh jentera Jabatan Pilihanraya PAS
Pusat dan Jabatan Pilihanraya Negeri, Dewan Ulama – Muslimat – Pemuda,
dan Lajnah masing-masing yang menyumbang kepada keseluruhan tugas
pilihanraya ini tanpa perlu saya perincikan strateginya dalam muktamar
pada hari ini. Patuhlah kepada arahan-arahan ini tanpa rasa ragu dan
lemah.
Hadirin dan hadirat sekelian,
91. Ingatlah, bahawa
ungkapan menuju ke Putrajaya yang saban waktu kita laungkan; melalui
program Himpunan Hijau ke Putrajaya, Program PAS ganti UMNO, Himpunan
Kebangkitan Rakyat; semuanya adalah berpijak di atas kenyataan keazaman
kita untuk membawa rakyat sama-sama melakukan perubahan. Ianya bukanlah
suatu mimpi, tetapi turut berada dalam jangkauan hasil dari muafakat
bersama dalam Pakatan Rakyat.
92. Di saat ini sehinggalah kita
berdepan dengan PRU ke-13 nanti, seluruh negara akan berdepan dengan
taufan wang yang akan masuk ke setiap buah rumah dan jiwa manusia yang
ada di tanahair kita ini. PAS akan berdepan dengan ujian getir rakyat
yang dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain dari berbagai
cara penipuan yang menjadi senjata utama lawan kita.
93. Maka
kita perlu menyatakan komitmen untuk melakukan tindakan-tindakan
tertentu dalam menghadapi PRU-13 ini. Tindakan Pertama : Petugas PAS
perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh
strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU
adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan
kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang
akan memerangkap kita. Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan
dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang
menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan UMNO-BN.
Teguhlah dengan jamaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu
menghadapi dengan cabaran ini.
94. Tindakan Kedua : Petugas PAS
hendaklah banyak membuat persediaan menjaga benteng masing-masing
(Parlimen atau DUN) menghadapi musuh yang amat licik. Marilah kita
meneliti Firman Allah SWT :
يَا أَي هَُّا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبُِِواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّ قُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ ت فُْلِحُونَ
Maksudnya
: Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah
kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan
bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. (al-Imran : 200)
95.
Tindakan Ketiga : Petugas PAS hendaklah bersedia menangani kedatangan
orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi
tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibubapa mereka yang masih
menyokong UMNO. Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi
terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela
orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka
mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan
bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana
sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog,
sms dan lain-lain.
96. Tindakan Keempat : PAS juga hendaklah
memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan kepada PAS dengan
keutamaan ialah mempertahankan semua kerusi Parlimen yang telah
dimenangi PRU2008 (24 kerusi), kerusi parlimen yang lain akan diberikan
suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang
diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah
dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan
bersama.
97. Sehubungan dengan itu, media parti seperti Harakah
dan Harakahdaily, bersama dengan Jentera Penerangan parti hendaklah
bertindak membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan
parti yang telah distrategikan. Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan
sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan
kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada
rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep
mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah
diutamakan.
98. Pilihanraya umum ke-13 ini juga adalah merupakan
pilihanraya yang melibatkan perang siber. Persiapannya bukan lagi
seperti pilihanraya yang pernah kita lalui sebelum sebelum ini. Mahu
tidak mahu, suka tidak suka, petugas-petugas kita disemua peringkat
mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena
perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.
99. Kerjasama
penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13
ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan Media Baru sebagaimana
yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun
lepas. Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat
dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat
melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk
tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook,
twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak.
Hadirin dan hadirat sekelian,
ARAHAN KEPADA AHLI DAN PIMPINAN PAS
Marilah
dengan fikiran yang terbuka, penuh keazaman, berbekalkan keimanan
kepada Allah dan janjinya dunia-akhirat, keyakinan kita kepada
perjuangan kita ini, maka saya ingin membuat pengarahan berikut kepada
semua perwakilan yang ada pada hari ini :
1. Saya mengarahkan
kepada semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam
matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak
leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya
tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.
2.
Saya mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah,
negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar
untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan
Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke
pemerintahan Pusat.
3. Saya menyeru kepada semua Kerajaan negeri di
bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini
untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa
meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.
4.
Saya mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap
bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum
ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi
media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap
yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS
dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf
dan semangat kita. Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan
dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke
semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan
kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.
5. Saya
mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas
pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk
berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan
bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan
untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
6. Saya mengarahkan kepada
semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan
ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah
semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat
berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta
bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi
penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat,
bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana
kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.
7. Marilah pada hari
ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun
gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA
BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.
PENUTUP
Akhirnya,
dikesempatan ini bagi pihak muktamirin sekelian, saya mengucapkan terima
kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Kelantan dan
Kerajaan Negeri Kelantan, seluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS
Kelantan, PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Pengarah dan Jawatankuasa Induk
Muktamar, Jabatan Amal, dan semua petugas yang terlibat, serta semua
pihak yang menjayakan Muktamar ke-58 ini. Mudah-mudahan segala amal ini
mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Seterusnya, saya RASMIKAN Muktamar Agung PAS kali ke-58 ini dengan menyebut
بسم الله الرحمن الرحيم
dan sabda Rasulullah SAW :
سيروا على بركة الله
الله أكبر ولله الحمد