Monday, June 24, 2013

Wakil PAS bawa suara rakyat ke parlimen


KUALA LUMPUR: Muka-muka baru yang mewakili PAS ke Parlimen rata-ratanya hari ini menyatakan rasa keterujaaan kali pertama melangkah ke Dewan Rakyat serta mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika ditemui tidak menafikan bahawa beliau gementar ketika melafazkan sumpah kerana menyedari segala amanah terbeban di bahunya.

"Rasa gementar itu memang ada kerana saya memegang amanah rakyat.

"Saya akan membawa risalah perjuangan mewakili PAS dan Pakatan Rakyat sekali gus membawa suara rakyat dari kawasan yang saya wakili seterusnya memberi semak imbang dalam parlimen.

"Hari ini juga saya melihat pelbagai gelagat dan telatah ahli parlimen jadi saya kira ini pengalaman baru," katanya yang juga Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan wajah ceria berkata beliau gembira dapat bersemuka dengan 'orang-orang besar negara' yang dipilih rakyat.

"Saya rasa cukup gembira dapat berkenalan dengan orang-orang besar Malaysia yang dipilih oleh rakyat daripada kedua-dua belah pihak.

"Saya akan membawa agenda rakyat khususnya untuk rakyat saya di Parlimen Pasir Mas dan agenda Malaysia Baru," kata Timbalan DPPM yang selalu tersenyum itu.

Seorang lagi muka baru, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Nerus berikrar akan berbahas dengan cara yang berakhlak dan sentiasa memberikan pandangan-pandangan yang bernas.

"Ini pengalaman pertama saya, hari ini baru permulaan angkat sumpah dan permulaan kerja besar yang mesti ditunaikan oleh ahli parlimen yang diberi amanah oleh rakyat iaitu berbahas dengan cara yang berakhlak, memberikan pandangan, idea, dan tegeuran-teguran yang baik untuk kerajaan," katanya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Pagi tadi, Seramai 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu 21 daripada PAS, 30 PKR dan 38 DAP mengangkat sumpah jawatan bagi parlimen kali Ke-13.

Bagi wakil Pakatan Rakyat, angkat sumpah dimulakan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR, diikuti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang juga Presiden PAS, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang juga Penasihat DAP Kebangsaan seterusnya wakil-wakil Pakatan Rakyat yang lain.

No comments:

Post a Comment