Monday, June 24, 2013

Islam dan nasionalisme

Kefahaman nasionalisme telah menjadi ideologi perjuangan kebanyakan bangsa dan negara di seluruh dunia. Fahaman ini juga menjadi akidah perjuangan yang dijunjung tinggi, bukan sahaja kerana dipergunakan dalam perjuangan kemerdekaan menentang penjajah asing yang zalim, tetapi fahaman nasionalisme ini diteruskan sekalipuan selepas penjajah itu keluar dan negara berkenaan mencapai kemerdekaannya.

Kadangkala fahaman nasionalisme dijadikan teras negara sehingga ada yang terlanjur berlaku zalim pula apabila adanya masyarakat majmuk dalam negara itu atau negara jirannya. Semua ini berlaku walaupun dunia akhir zaman ini berada di puncak kemajuan teknologi, khususnya dalam lapangan perhubungan dan maklumat. Ideologi ini turut diikuti dan dianuti oleh umat Islam pada zaman kejatuhan khilafah, sehingga tanah air umat Islam dijajah akibat perpecahan kaum dan bangsa yang menganut Islam.

Yang lebih parah lagi ada pula yang terlibat bersama musuh menjatuhkan kepimpinan kerajaan Islam yang tidak sebangsa dengan mereka. Akibatnya bumi Islam dijajah dan dibahagikan dalam kalangan bangsa dan negara yang menjajah umat Islam. Mereka mencapai kemerdekaan pula dengan semangat kebangsaan masing-masing dan mengisi kemerdekaan dengan semangat yang sama, walaupun dalam masyarakat majmuk.

Berbeza dengan zaman pemerintahan Islam yang mengamalkan konsep terbuka kepada semua bangsa dan penganut semua agama. Sikap keterbukaan pemerintahan Islam ini wujud dengan hasrat supaya mesej Islam dapat disampaikan kepada seluruh manusia tanpa paksaan. Pemerintahan Islam ini juga menerima rakyat bukan Islam berbagai bangsa dalam amalan bermasyarakatnya, yang dengan terbuka mengamalkan cara hidup Islam di semua lapangan, termasuklah juga politik.

Keadaan negara yang mengamalkan konsep sekularisme, lebih mudah mencetuskan pertembungan dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara dunia dan negara umat Islam yang mewarisi ideologi ini sejak zaman penjajahan. Hal ini menunjukkan bahawa aliran pemikiran yang memisahkan politik daripada agama gagal mengawal perasaan fanatik kaum dan bangsa, walaupun dalam sebuah negara dan pemerintah yang berkuasa mewujudkan takrif nasionalisme dengan makna yang lebih luas mengikut perbatasan tanah air yang sama menjadi tempat bermukim, berkuasa memerintah, dan berada dalam satu parti yang membuka keahlian berbagai bangsa.

Islam agama fitrah tetap mengakui wujudnya berbagai bangsa, bahasa, budaya dan agama, dalam masa yang sama lahirnya perasaan kecintaan kepada bangsa masing-masing mengikut ketetapan Allah yang mustahil dinafi dan dihapuskan. Namun, Islam mempunyai pendekatan yang mengambil kira segala aspek fitrah manusia dari segi individu, keluarga dan masyarakat dalam satu bangsa, satu negara dan seluruh dunia yang luas bidangnya.

Rasulullah SAW memulakan dakwah dan perjuangannya bersama keluarga Bani Hasyim, Qabilah Quraish dan bangsa Arab, mengikut arahan Allah Taala supaya mengajak keluarga yang hampir terlebih dahulu kepada Islam. Semangat kekeluargaan juga memberi peranan mempertahankan Rasulullah SAW termasuk daripada kalangan yang belum menganut Islam.

Adapun sejarah kegemilangan Islam bermula dengan bangsa Arab, dan tamadunnya pula silih berganti dalam kalangan bangsa yang paling kuat berpegang dengan ajaran Islam. Menunjukkan tidak kekal dengan kepimpinan bangsa Arab sahaja, walaupun bangsa Arab menjadi pilihan Allah dilantik menjadi Rasul akhir zaman. Apabila bangsa Arab lemah pegangannya kepada ajaran Islam, maka kepimpinan Islam beralih kepada bangsa lain yang menganut Islam, berilmu dan berakhlak mulia.

Semua perkara ini perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh daripada sumber ajaran Islam dan sejarahnya, di sepanjang zaman kegemilangannya. Kesemua keadaan tersebut menunjukkan bahawa risalah Islam tetap bersifat sejagat tanpa terikat dengan kaum dan bangsa tertentu, kerana ia adalah matlamat Rasul akhir zaman. Dalam masa yang sama bangsa yang paling kuat berpegang dengan Islam diberi peranan yang besar melaksanakan kewajibannya berdakwah dan memerintah negara bersama Islam di sepanjang zaman dengan kesetiaan dan penglibatan umat Islam berbagai bangsa.

Allah Taala berfirman:

“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit daripada harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad : ayat 38)


Maka penjelasan berkenaan nasionalisme yang menjadikan semangat kebangsaan itu satu ideologi perjuangan sangat penting difahami, supaya setiap penganut Islam tidak terjerumus ke dalam fanatik perkauman jahiliyah yang merosakkan tasawur Islam dan tidak menyelamatkan umat dan bangsa dengan Islam.

Allah juga mengurniakan tokoh para ulama yang tersohor dalam ilmu Islam, daripada kalangan dan kepelbagaian bangsa yang menganut Islam, termasuk bukan berbangsa Arab, seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Hanifah, Imam AI Ghazali, Imam al-Haramain dan lain-lain lagi.

Risalah ringkas ini sekadar membuka minda untuk mengembalikan semua pihak kepada landasan hidup yang diredhai Allah, dengan kembali kepada sumber yang terpelihara kebenaran dan kesahihannya, iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya),

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah Nabi-Nya SAW.”


Kewujudan Bangsa


Firman Allah Taala:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan Maha Mengetahui perkara-perkara yang berkait dengan kamu.” (Surah al-Hujuraat : ayat 13)


Allah Taala menegaskan bahawa penciptaan manusia bermula dengan individu Adam dan Hawa, seterusnya menjadi keluarga yang besar, kemudiannya bersuku kaum dan selepasnya berbagai-bagai bangsa, bahasa, budaya dan warna kulit. Semua kejadian ini mengandungi hikmat yang besar dan tinggi nilainya. Yang terpenting daripada proses ciptaan manusia ialah dalil ketuhanan Allah Yang Maha Agung, tiada bandingan dan tandingan. Firman Allah Taala:

"Dan antara tanda-tanda ketuhanan Allah, Dia menciptakan langit dan bumi dan menjadikan kamu berbagai-bagai bahasa dan warna kulit. Sesungguhnya perkara itu menjadi dalil kepada orang-orang yang berpengetahuan." (Surah ar-Rum : ayat 22)


Manusia diciptakan dengan fitrah (naluri) yang berbeza dengan makhluk lain, bukan sahaja bersifat roh dan jasad yang membezakan mereka dengan malaikat, haiwan, tumbuhan pokok dan batu-batuan. Manusia juga diberi peranan dalam kalangan makhluk Allah, memerlukan mereka hidup bermasyarakat, secara keluarga dalam satu bangsa dan berbagai bangsa dalam dunia yang luas.

Kehidupan bermasyarakat mewajibkan mereka bekerjasama dengan berhubung dan tolong-menolong di antara satu sama lain. Tanpa hubungan kerjasama di antara satu sama lain, maka akan berlakulah kecacatan dalam kehidupan mereka di alam dunia, bahkan tidak mampu berada di atas muka bumi ini, kerana keperluan bagi seseorang manusia pada jasadnya sahaja, seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tidak mungkin dihasilkan secara individu dan setempat. Maka berlaku pembahagian kerja dalam kalangan mereka, ada yang bertani, ada yang berindustri, ada yang berniaga, ada yang mentadbir dan mengurus dan seterusnya.

Ibnu Khaldun menegaskan manusia adalah haiwan tamadun, dengan makna bermasyarakat dan berhimpun, serta memajukan cara hidup yang berakal dan berilmu secara bermasyarakat, sama ada pada peringkat masyarakat yang kecil dan besar. Mewajibkan mereka berkenalan dan tolong-menolong di antara satu sama lain.

Para ulama sejarah Islam menegaskan Allah Taala melahirkan bangsa-bangsa daripada zuriat Rasulullah iaitu Nuh AS. Mereka disebarkan ke seluruh pelosok dunia mengikut kedudukan geografi di tempat yang berbeza dan menghasilkan kemakmuran bumi di tempat masing-masing dan kerja mengikut kemahiran yang berbeza. Seterusnya mewajibkan campuran hasil bumi dan hasil kerja, kerana mereka tidak hidup sempurna dengan hasil bumi di tempat masing-masing dan hasil kerja masing-masing tanpa campuran dan pertukaran wang.

Bagi menghasilkan sehelai pakaian bagi seorang manusia memerlukan kapas yang ditanam, alat tanaman dan tenunan yang memerlukan logam yang dilombong, pada zaman yang lebih maju memerlukan jentera pertanian, kilang dan bahan bakar bagi keperluan jentera untuk pertanian, industri dan perdagangan. Segala sumber yang dirangkumkan ini menghasilkan hanya sehelai pakaian dan mewajibkan manusia berbeza kemahiran dan bahan kerjanya, mewajibkan mereka bermasyarakat dan berada di tempat, negeri dan benua yang berbeza.

Begitulah juga keperluan yang lain seperti makanan, tempat tinggal, alat perhubungan dan lain-lain. Semua perkara yang tersebut menunjukkan bahawa manusia bukan sahaja mempunyai naluri individualistik masing-masing, mereka juga hidup dalam kelompok keluarga, masyarakat yang kecil, dalam kalangan suatu bangsa dalam perbatasan negerinya sahaja. Dalam masa yang sama mewajibkan bermasyarakat peringkat antarabangsa dengan hubungan yang saksama dan berakhlak.

Maka, Allah Yang Maha Mengetahui berkenaan manusia menetapkan peraturan dan undang-undang yang lengkap, bagi mengatur cara hidup yang memenuhi sifat dan keperluan manusia, roh dan jasad, secara individu, keluarga, masyarakat kejiranan dalam kelompok yang kecil dan antarabangsa.

Dari hal ini, terbuktilah dengan nyata kegagalan teori, ideologi dan semua ajaran yang tidak sempurna merangkumi segala aspek kejadian manusia mengikut fitrahnya. Berlakunya kemusnahan jasad dengan berbagai penyakit tanpa moral manusia yang sebenar, berlakunya ancaman keamanan dan keselamatan dalam masyarakat negara dan antarabangsa kerana perundangan ciptaan manusia sendiri yang sarat dengan kelemahannya.

Firman Allah Taala :

“Telah zahir dengan nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia sendiri, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum : ayat 41)

Hubungan Silaturrahim


Manusia wajib berkeluarga, maka Islam mewajibkan hubungan silaturrahim dalam kalangan keluarga dengan perintah tegas secara wajib daripada Allah Taala dan Rasulullah SAW.

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripada Allah (Dia) menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah an-Nisa’ : ayat 1)


Hal ini menunjukkan bahawa Islam menerima hakikat hubungan keluarga dan memeliharanya secara wajib, supaya perasaan kasih kepada sesama keluarga tidak boleh dirosakkan dan diputuskan dengan sewenang-wenangnya kecuali kepada mana-mana pihak yang memaksa supaya menderhakai Allah dan Rasul-Nya, kerana hubungan yang berlandaskan ajarannya sahaja yang dapat menyelamatkan diri dan keluarga.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah menghubungkan silaturrahim dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah bercakap yang baik atau diam sahaja.”


Hadis ini mewajibkan hubungan baik dalam kalangan keluarga yang dinamakan hubungan silaturrahim dan yang lebih luas daripada silaturrahim kepada meraikan tetamu dan memelihara percakapan kerana memelihara hubungan yang baik di antara satu sama lain. Dalam masa yang sama Islam juga menetapkan sempadan hubungan sehingga tidak melampau batas kebenaran dan keadilan, walaupun dengan ibu bapa yang paling hampir hubungannya dengan seseorang.

Firman Allah Taala:

“Dan jika keduanya (ibu dan bapa) memaksa untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada Akulah kamu kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman : ayat 15)

Allah memelihara hak dan kewajipan bagi memenuhi kecintaan kepada keluarga, apatah lagi terhadap kaum kerabat yang paling dekat hubungannya seperti ibu bapa. Begitupun Allah juga meletakkan sempadan yang tidak boleh dilampaui sehingga melupai batas hubungan dengan Allah dan kemanusiaan yang sebenar. Maka dilarang mematuhi ibu bapa dalam perkara maksiat atau dosa terhadap Allah dan zalim kepada sesama manusia, dalam masa yang sama tetap berlaku baik terhadap mereka berdua. Islam menegaskan bahawa kesalahan syirik ini ialah punca semua kezaliman, terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Firman Allah Taala :

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman : ayat 13)

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak boleh taat kepada makhluk dalam perkara menderhakai Tuhan.”

Hal ini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim dan sebagainya tidak boleh mengatasi hubungan dengan Allah dalam perkara agama Islam.

Kecintaan Kepada Bangsa

Sifat kecintaan atau kasih kepada bangsa adalah menjadi sifat manusia, termasuk para Rasul AS. Al-Quran menceritakan ucapan Para Rasul ketika berdakwah kepada kaum masing-masing, mereka menggunakan bahasa yang menunjukkan kecintaan mereka kepada bangsanya dan merasa sedih apabila bangsanya ditimpa bencana kerana menolak seruan Allah dan perintahnya.

Firman Allah Taala :

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: Wahai kaum bangsaku! Abadikanlah diri kamu kepada Allah. Tiada lagi Tuhan kamu selain daripadanya.” (Surah al-A’raf : ayat 65)


Allah turut berfirman mengesahkan Nabi Lut AS:

“Lut berkata; Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada dokongan yang kuat (keluarga yang kuat).” (Surah Hud : ayat 80)

Berhubung dengan ayat ini Rasulullah S.A.W bersabda, “Rahmat Allah kepada Lut, sebenarnya dia telah berada dalam perlindungan dokongan yang kuat (Allah Taala). Maka Allah tidak melantik Nabi selepasnya, melainkan ada sumber penolong dalam kalangan kaumnya sendiri.”

Rasulullah SAW juga mendapat kawalan daripada keluarganya yang beriman dan yang tidak beriman tetapi bersemangat kekeluargaan, namun tidak berganjak terhadap keluarga yang menentang kerasulannya, seperti ketegasan Nabi Ibrahim AS berhadapan ayahnya dan Rasulullah SAW terhadap bapa saudaranya Abu Lahab yang menentang Islam.

Ada kalangan para sahabat seperti Abu Bakar RA dan lain-lain mendapat himayah (pembelaan) daripada keluarga yang tidak beriman. Keadaan ini menunjukkan bahawa Islam mengizinkan semangat kekeluargaan dan kebangsaan yang berpihak kepada Islam walaupun daripada kalangan bukan Islam, walaupun pembelaan oleh yang tidak berasaskan Islam tidak ada pahala kepada pendokongnya kerana semangat yang tidak berdasarkan kepada iman.

Rasulullah SAW menetapkan garis panduan yang nyata dalam menghadapi sokongan keluarganya yang dikumpulkan oleh Abu Talib. Apabila Abu Talib menyampaikan kepadanya pengaduan pemimpin musyrikin supaya meninggalkan prinsip tauhid yang menolak syirik, dengan tegas Rasulullah SAW bersabda, “Wahai bapa saudara kesayanganku! Demi Allah kalau sekiranya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, nescaya aku tidak meninggalkannya sehinggalah Allah memenangkannya atau dibinasakan kerananya.”

Akhirnya Abu Talib memberi jaminan pembelaan keluarga kepada Baginda SAW sekalipun tidak menganut Islam.

Perpaduan Umat

Islam membahagikan umat manusia kepada dua kumpulan. Pertama, dinamakan umat Islam iaitu yang disebut dalam al-Quran sebagai orang-orang yang beriman iaitu penganut Islam, dan kedua umat manusia iaitu seluruh yang bernama manusia. Kedua-dua pembahagian ini mempunyai pendekatan perpaduan mengikut sifat dan cirinya. Ayat al-Quran mengandungi dua seruan. Ditujukan kepada orang-orang yang beriman dan ditujukan kepada umat manusia secara menyeluruh.

Umat Islam

Umat Islam ialah kalangan yang telah menganut Islam, mereka diikat dengan persaudaraan Islam. Hubungan ini lebih kuat lebih kuat dari hubungan silaturrahim dalam keluarga dan juga lebih erat daripada hubungan satu bangsa. Rasulullah SAW telah menjalinkan hubungan ini dalam kalangan para sahabatnya daripada kalangan bukan Arab, seperti Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir, Salman al Farisi dan lain-lain, diikat persaudaraan Islam dengan kalangan yang berbangsa Arab, sehingga persaudaraan Islam itu dibandingkan seperti anggota dalam satu jasad.

Sabda Rasulullah SAW:

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman itu dari segi kasih sayang di kalangan mereka laksana satu jasad, apabila satu anggota mengalami kesakitan menyebabkan seluruh anggota berjaga dan mengalami demam.”

Umat Islam diperintah menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh manusia tanpa paksaan, menjadi contoh yang baik kepada umat yang lain dan menegakkan kebaikan dan keadilan untuk seluruh manusia. Mereka hendaklah mempunyai ciri kelayakan menyampaikan risalah dan melaksanakan kewajipan ini. Di antaranya dinyatakan oleh Allah Taala:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).” (Surah al-Baqarah : ayat 143)

Umat Islam itu wajib menjadi contoh yang baik kepada umat manusia seluruhnya dengan bersifat luhur dan berlaku adil kerana mereka bertanggungjawab meneruskan kerasulan di zaman tidak ada lagi perlantikan Rasul selepas wafatnya Muhammad SAW. Seterusnya Allah Taala berfirman:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah ali Imran : ayat 110)


Ayat ini pula menghuraikan ciri-ciri umat Islam yang sebenar berperanan di kalangan umat manusia ialah melaksanakan kewajipan, menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Melaksanakan kewajipan tersebut sehinggalah ke peringkat menegakkan negara yang berdaulat dan berwibawa seperti yang ditunjuk contohnya oleh Rasulullah SAW dan generasi awal, memimpin umat manusia di semua peringkat, negara dan antarabangsa.

Apabila mendirikan negara Islam di Madinah, Rasulullah SAW menyatukan umat Islam dari kalangan Muhajirin dan Ansar, Arab dan bukan Arab dengan persaudaraan Islam dengan menghadapi tentangan awal daripada keluarganya yang berbangsa Arab. Setelah itu Baginda SAW melebarkan dakwah di peringkat antarabangsa dengan menghantar perutusan kepada raja-raja Arab dan bukan Arab, mengekalkan Raja Habsyah yang menerima Islam, begitu juga Raja Muscat, Oman dan Bahrain, berdamai dengan raja-raja yang adil dan menghadapi tentangan kuasa besar dan kecil yang zalim.

Umat Manusia

Al-Quran menegaskan bahawa semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama berasal daripada Adam dan Hawa, mereka hidup bermasyarakat secara fitrah (semula jadi), keperluan bermasyarakat menjadikan mereka tidak boleh berpisah dalam kehidupan di dunia. Firman Allah Taala:

“Manusia itu adalah umat yang satu. Maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi berita gembira kepada yang beriman, peringatan kepada yang derhaka dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya, dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah : ayat 213)


Para ulama tafsir menjelaskan bahawa manusia bermula dengan keluarga dan agama Islam bersama Adam dan Hawa sehingga mencapai tempoh sepuluh abad. Selepas kewafatan Adam AS berlaku penyelewengan agama dengan berlakunya syirik, lalu Allah mengutuskan Nabi Nuh AS dan berlakunya bencana taufan yang menenggelamkan pelusuk bumi. Kelahiran bangsa selepasnya mengikut anak-anak Nabi Nuh AS bernama Sam , Ham dan Yafith.

Allah mengutuskan Rasul kepada bangsa, zaman dan tempat yang berasingan. Kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah akhir zaman sebelum berlakunya bencana kiamat ketika dunia dikurniakan kemuncak kemajuan ilmu yang mendekatkan hubungan bangsa dan negara, sehingga dunia bermasyarakat dengan mudah melalui alat-alat yang canggih. Maka cukup dengan seorang Rasul dan kitab mukjizat ilmu yang bernama al-Quran.

Ditegaskan tujuan kerasulan Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, tidak khusus kepada bangsa Arab dan negerinya sahaja. Firman Allah Taala:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad SAW) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’ : ayat 107)


Rahmat Allah di alam dunia ini bukan sahaja tertentu kepada penganut Islam sahaja, bahkan kepada seluruh manusia tanpa mengira agama. Termasuk juga rahmat daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Walaupun Islam wajib dianuti oleh seluruh umat manusia, tetapi kita tidak dibenarkan untuk memaksa seseorang untuk menganut kepercayaan yang dipegang oleh kita, kerana hikmah kejadian Allah Taala yang mengurniakan akal kepada manusia yang wajib digunakan untuk berfikir, mencari ilmu dan pengalaman.

Maka, penerimaan Islam hendaklah dengan kerelaan hatinya. Adapun keadilan hukum Islam hendaklah diberi kepada seluruh umat manusia. Peranan memimpin umat Islam juga tidak khusus kepada bangsa Arab sahaja, kerana Allah menentukan kepimpinan Islam itu kepada mana-mana bangsa yang menganut Islam, kuat berpegang kepada ajarannya, dan kuat berjuang menegakkannya.

Allah Taala berfirman kepada generasi awal Islam dalam kalangan bangsa Arab:

“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad : ayat 38)

Mana-mana bangsa yang menganut lslam yang memimpin negara diharamkan berlaku zalim terhadap bangsa lain tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukannya.

No comments:

Post a Comment