Monday, June 24, 2013

Hentikan Salahguna Kuasa, Bebaskan Husam Segera! - Kit Siang

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesar agar Naib Presiden PAS, Husam Musa dibebaskan segera dari tahanan kerana ia jelas merupakan salah guna kuasa yang amat memalukan.

Menurut beliau, tindakan polis mengenakan reman selama 2 hari itu juga perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

“Reman dua hari terhadap Husam atas alasan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 mesti dikutuk sekerasnya semua rakyat yang waras pemikirannya.

“Penahanan ini merupakan bukti bahawa langsung tidak ada apa-apa perubahan dilakukan BN, selama ini mereka melaungkan untuk mengembalikan kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme institusi negara. Laungan kosong semata,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam sebuah kenyataan media.

Menempelak tindakan itu, Kit Siang turut mempersoal ketelusan polis dalam menjalankan tugas apabila langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu dari UMNO/BN yang lebih terbukti bersalah.

“Rakyat tertanya mengapa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad langsung tidak pernah dipanggil untuk disoal? Mahathir sepatutnya ditahan kerana beliau terbukti bersalah kerana membuat pelbagai kenyataan berbaur hasutan sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum.

“Mengapa orang yang sengaja mengeluarkan kenyataan menjejaskan keharmonian negara seperti Mahathir tidak pula ditahan?

“Rakyat juga ingin tahu mengapa bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah tidak pernah dipersoalkan apatah lagi ditahan ke dalam lokap?, beliau telah membuat ucapan paling rasis apabila memberi amaran bahawa kaum Cina akan menerima balasan dari Melayu kerana melakukan ‘pengkhianatan’ dalam PRU lalu,” soalnya.

Kata Kit Siang, penahanan ini juga membuktikan UMNO/BN tetap tidak pernah berubah dengan sering menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri. “Penahanan Husam, dengan jelas menunjukkan bahawa pendakwaan terpilih, layanan diskriminasi, penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah terus menjadi taktik mereka sehingga hari ini,” ujarnya. – Roketkini


Anwar : Penahanan Husam Bersifat ‘Selective Persecution’


Penahanan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam disifatkan ‘penganiayaan terpilih’ (selective persecution) oleh pihak berkuasa dan Kerajaan Umno-BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘penderaan’ terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tetap diteruskan walaupun Kerajaan Persekutuan adalah kerajaan minoriti.

“Penderaan terhadap pimpinan PR diteruskan, walaupun kerajaan itu adalah minoriti yang tidak dapat dinafikan walaupun rakyat telah menolak BN.

“Budaya keangkuhan dan pendakwaan yang memilih ‘selective prosecution’, malah saya katakan ia adalah ‘selective persecution’ itu diteruskan,” katanya.


Kelmarin, Husam ditahan di Kampung Pandan, Ampang berhubung satu kenyataan yang beliau keluarkan di Kota Bharu sebelum perhimpunan Black505 di Padang Merbok.

Semalam beliau dibawa ke Kota Bharu untuk siasatan.

Husam didakwa sebagai berkata “Andaikata kita terkorban atau satu daripada kita terkorban, insyaAllah ia adalah syahid fi sabillilah”.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penahanan Husam memperkukuhkan bukti bahawa pemimpin Umno bebas dan terlepas daripada segala kenyataan berbaur perkauman dan hasutan selama ini.

Katanya, selama hampir bertahun-tahun pemimpin Umno-BN dan kumpulan pendesak Melayu (Perkasa) mengeluarkan kenyataan sedemikian namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

“Ungkapan berbaur perkauman dan hasutan ini lebih berbulan-bulan dan bertahun-tahun oleh Umno dan Perkasa sama sekali tidak dihiraukan.

“Seolah-olah tidak ada perubahan dalam sistem di negara kita,” ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

No comments:

Post a Comment