Monday, January 10, 2011

DUN Tenang: PAS dijangka turunkan Firdaus atau Normala

KUALA LUMPUR, 10 Jan — PAS dipercayai telah memutuskan antara Exco Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Johor untuk mewakili Pakatan Rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya kecil hujung bulan ini.
The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan parti itu telah menyenaraipendekkan Firdaus Masod dan Normala Sudirman untuk membawa cabaran di Tenang.
Firdaus merupakan seorang peguam manakala Normala pula berkhidmat sebagai guru. Masing-masing berusia awal 30-an.
Normala juga merupakan exco Dewan Muslimat PAS pusat.
Jika dipilih sebagai calon, ini merupakan kali kedua Firdaus bertanding pada pilihan raya.
Beliau pernah mencuba nasib di Buloh Kasap, salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Segamat, pada 8 Mac 2008 tetapi tewas di tangan calon Umno-BN Othman Jais dengan perbezaan 4,466 undi.
Normala merupakan anak tempatan yang lahir di Labis.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Zulkifli Ahmad enggan membayangkan sama ada kedua-dua mereka menjadi pilihan kepimpinan untuk membawa cabaran kali ini.
“Itu tekaan sahaja. Apa pun kami akan meletakkan calon yang boleh membawa kemenangan, itu pertimbangan kami,” kata beliau.
“Kawasan ini mempunyai hampir 50 peratus pengundi Melayu dengan tiga kawasan Felda, jadi semua faktor kena diambil kira untuk membawa kemenangan,” katanya.
Calon pilihan yang muktamad akan diumumkan Ahad ini, kata Zulkifli yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil kali ini.
Ia dijangka diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebelum ini, lima nama disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon PAS.
Antara nama yang disebut ramai ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Beliau pernah bertanding pada pilihan raya umum 2008.
Sumber memberitahu, jika mengambil kira faktor anak tempatan Firdaus dan Normala akan menjadi pilihan tetapi Mazlan juga terkenal di kalangan peneroka Felda yang menyediakan lebih 3,000 undi di Tenang.
Laporan Harakahdaily menyebut, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, besar kemungkinan menyaksikan pertembungan antara wanita apabila BN dikatakan akan mengemukakan calon wanita manakala PAS juga mempertimbangkan dua calon iaitu antara seorang lelaki dan seorang wanita.
“Mesyuarat (semalam) telah membuat keputusan calon yang akan mewakili PAS tetapi ia hanya akan diumumkan 16 Januari ini di Tenang,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Katanya, mesyuarat telah memilih seorang daripada dua calon yang telah disenarai pendek oleh PAS Johor iaitu seorang dari Pemuda dan seorang lagi mewakili Dewan Muslimat PAS.
“Kita telah pilih salah seorang dari dua calon yang dikemukakan oleh PAS Johor itu,” kata Mustafa.
BN dipercayai akan meletakkan calon wanita bagi kerusi itu. Menurut sumber, tindakan itu ada kaitan dengan lobi MCA yang dilakukan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga adalah bekas ahli parlimen Labis. Pada pilihan raya umum lalu anak beliau menjadi calon BN dan menang.
Kerusi Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember tahun lalu.
Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di Johor,
Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

No comments:

Post a Comment