Monday, January 10, 2011

Muhasabahlah bila pegang kerajaan, Nik Aziz


SHAH ALAM, 10 Jan — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak akan mendapat keredaan Allah kerana tidak berlandaskan kepada prinsip-prinsip Islam.
“Allah mengatakan kerajaan dalam genggamannya, saya memimpin Kelantan mengikut kehendak Allah... Umno pula tidak.
“Semua yang ada di dunia ini Allah yang buat, kerajaan yang kita pegang adalah kerajaan Allah.
“Jadi kita kena selari dengan kehendak Allah, dalam dunia ini tiada manusia yang boleh buat benda yang tiada jadi ada.
“Udara adalah dari Allah ia bukan datang dari syarikat atau parti,” katanya ketika menyampaikan ceramah di program Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS di Stadium Malawati di sini malam tadi.
Justeru, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pimpinan kerajaan perlu sentiasa bermuhasabah.
“Muhasabahlah bila pegang kerajaan, Menteri Besar, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong semua sekali akan mati.
“Tiada orang yang tidak akan mati, doktor pun mati. Tapi orang Melayu khasnya Umno gerun sangat kepada mati,” katanya.
Beliau berkata Allah akan menolak Umno kerana parti Melayu itu “berbalah” dengan Allah apabila menolak Islam.
“Umno sudah tolak Islam, bila tolak Islam Umno berdoa kepada siapa?
“Tolak Islam bermakna tolak Allah, kita doa kerana kita perjuangkan Islam sebagai asas,” katanya.
Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu sudah melakukan satu anjakan paradigma apabila menerima orang bukan Islam dalam mempertahankan perjuangan yang dibawa parti Islam itu.
Beliau menegaskan Islam sentiasa mengajar umatnya supaya menghormati dan melindungi hak orang bukan Islam.
“Ia perlu ada anjakan paradigma dan kita tidak boleh jadi macam Umno yang tidak pedulikan jirannya, MCA dan MIC. Mereka dengan senang lupa dan menafikan hak jiran mereka. Ini adalah politik ketidaksiuman.
“Kita sedar orang bukan Islam adalah sebahagian daripada Malaysia dan Islam mengajar kita untuk mentadbir negara dengan masyarakat majmuk,” katanya.
Hadi juga menegaskan Pakatan Rakyat akan memberikan keadilan kepada semua rakyat di negara ini.
“Islam bukan ajar menghormati orang Islam sahaja tetapi bukan Islam dan rumah ibadat mereka. Ini bukan janji PAS atau PKR tapi Allah.
“Pakatan sudah berjaya dan kita akan mempertahankan dan memperbetulkan apa yang tidak betul. Harap Allah akan beri kemenangan dalam pilihan raya umum nanti,” kata Ahli Parlimen Marang itu.
Beliau juga berkata PAS perlu bersabar dan berada di landasan terbaik merampas Putrajaya.
“Allah mengatakan kita perlu sentiasa berada di laluan betul dan jangan ikut jalan orang yang tidak mengerti.
“Ada yang mahu ikut jalan mudah dan senang. Ada juga yang sanggup ambil jalan pintas dan bertindak sesuka hati tapi mereka lemah.
“Kita kena bersabar dan ikut jalan yang betul,” katanya.

No comments:

Post a Comment