Mahu tidak mahu, percaya tidak percaya, BN kini berada dalam keadaan tenat. Berbeza dengan PM terdahulu, Najib dikatakan terpaksa bekerja keras, menyemak dan menimbang calon-calon yang bakal bertanding dalam PRU ke-13 nanti. Tarikh PRU belum diketahui. Banyak pihak meramalkan tahun ini, 2011.
Kebimbangannya... Putrajaya bakal terlepas ke tangan Pakatan Rakiyat memang berasas. Sebab itu, beliaulah satu-satunya PM atau Presiden Umno yang menghamburkan ucapan keras dan cemas "akan pertahan Putrajaya walaupun terpisah daging dengan tulang". Presiden Umno dahulu, hadapi PRU dengan tenang dan tidak seteruk Najib kali ini.
Banyak cara dilakukan Najib bagi meyakinkan kemenangan berpihak kepada BN. Namun rakyat tidak menunjukkan perubahan besar. Ugutan Najib "berubah atau rebah" tidak dihiraukan ahli-ahli Umno. Perangai mereka masih ditakuk lama. Sementara sekutu MIC, MCA dan Gerakan, tak habis-habis menelan ubat bagi memulihkan stamina.
Agaknya, itulah sebab semua ahli parlimen BN dipanggil mengadap PM. Melaporkan kisah dan 1001 cerita di kawasan parlimen masing-masing. Mendedahkan kekuatan BN. Menelangjangkan kelemahan PR. Mencari jalan mencelah, memintas dan "membeli" sesiapa sahaja yang dipasti mengugat kemenangan BN.
Ahli parlimen BN Sarawak mendahului senarai wakil rakyat parti yang mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi. Mereka antara ahli parlimen yang dijemput hadir wajib bagi sesi taklimat PM berkenaan persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Ahli parlimen berkenan dilihat mula mengisi borang, difahamkan berhubung prestasi pilihan raya umum di kawasan mereka sebelum bertemu dengan Perdana Menteri sejak jam 9.20 pagi, lapor Malaysiakini. Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui bagaimana pun berkata beliau tidak perlu mengisi borang berkenaan. Katanya, "Saya sudahpun hafal semua angka tersebut."
Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn pula berkata, pertemuan ini merupakan satu langkah yang penting. "Ini kali pertama dalam karier saya bahawa PM bertindak begini sebelum pilihan raya umum," kata ahli parlimen yang telah berkhidmat selama empat penggal itu.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri ketika ditemui berkata, Perdana Menteri secara tidak langsung telah bertanyakan kepadanya mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai tahun ini. "Dia bertanya kepada kami, apa pandangan kami mengenai projek berimpak tinggi yang boleh membantu kemenangan BN. Saya beritahu (Najib) bahawa dia perlu melihat (isu) bekalan air bersih dan memperbaiki jalan raya.
"Sejak tahun 2005, jumlah penduduk Sarawak meningkat sebanyak 25 peratus, tetapi pusat rawatan air masih pada kapasiti 2005. Jalan raya juga berlubang di segenap tempat disebabkan oleh (kerja-kerja) pembangunan," katanya lagi. Bagaimana pun, isu melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak dibangkitkan.
No comments:
Post a Comment