Monday, January 10, 2011

Tenang: Gerak gempur kedua fokus ceramah setempat

Gerak gempur kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang oleh Pakatan Rakyat, yang memasuki fasa kedua bermula pada minggu ini bakal menyaksikan ceramah setempat terus dipergiatkan.
Menurut Pengarah Operasi Pilihanraya Tenang, Dzulkefli Ahmad ketika dihubungi Keadilandaily.com, fasa kedua di Dun Tenang kini lebih tertumpu kepada aktiviti ceramah setempat berbanding fasa pertama, iaitu gerak kerja bagi yang mengenalpasti isu-isu setempat seperti logistik, kemudahan prasarana dan kediaman rakyat.
“Bermula minggu lepas, pihak kita sudah mengetahui isu setempat rakyat dan turut mendekati mereka  dan sudah mengenal pasti penyokong-penyokong kita. Gerak kerja minggu ini akan dijalankan dengan lebih gigih lagi sebelum hari penamaan calon hujung minggu ini,” katanya.
Selain itu, aktiviti ceramah yang akan diadakan pada malam ini turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan diikuti kuliah maghrib.
Seterusnya Hadi akan meneruskan ceramahnya di Dataran Wayang Pacak, Felda Cempelak Barat. Sementara itu, keesokan harinya Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Haji Muhammad Sabu akan mengadakan ceramahnya di Dataran Pas Labis.
Menurut Dzulkefli, ceramah yang diadakan setiap hari pada fasa kedua ini akan menampilkan pimpinan Pakatan Rakyat secara bergilir dan bergandingan yang akan turun padang mengadakan ceramah di kawasan-kawasan setempat dalam kawasan Tenang.
Aktiviti yang berterusan ini, katanya adalah antara persiapan awal untuk menghadapi kempen pilihanraya yang bakal diadakan pada hujung bulan ini. 
Dalam perkembangan lain, Dzulkefli dalam isu yang sama turut memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis berkenaan Pengarah Pelajaran Johor yang telah berkempen kepada warga pendidik di kawasan sekolah-sekolah yang terletak dalam Daerah Segamat.
“Kami telah membuat laporan polis supaya perkara tersebut tidak akan berulang kerana  perbuatan itu telah melanggar peraturan dalam kempen pilihanraya. Satu salinan bakal pihak kami tujukan kepada Suruhanjaya Pilihanraya SPR,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment