“Najib boleh bermimpi kalau nak ajak PAS (bergabung),” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini.
“Umno sudah ditimpa mala petaka,” kata Anwar ketika menyampaikan ceramah pada program Solat Hajat dan Pidato Perdana anjuran PAS di Stadium Malawati di sini malam tadi.
Perhimpunan malam, yang dikatakan sudah dirancang lebih awal, diadakan ketika Pakatan Rakyat berhadapan dengan isu kontroversi pertemuan 24 Disember dan juga krisis perlembagaan negeri Selangor.
Pertemuan 24 Disember dikatakan menyentuh soal kerjasama politik PAS-Umno dan ia bukan kali pertama soal itu muncul sejak negara menyaksikan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.
Penasihat PKR itu berkata, Umno sudah tidak mempunyai “modal” untuk menyerang Pakatan Rakyat.
“Umno dah habis fikiran, dah guna macam-macam perkara, diserang begitu kuat dalam Utusan Malaysia, mereka dah habis ikhtiar.
“Ingat Umno kuat? Tidak... Umno hidup kerana menyemarakkan api sentimen perkauman.
“Kalau kita boleh jawab, Umno dah lama habis. Umno juga hidup dengan slogan, tanpa Umno habis orang Melayu,” katanya.
Dalam ceramah itu, ketua pembangkang itu berkata, kontroversi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah “isu kecil.”
“Isu SUK adalah isu kecil yang mampu kita tangani, kita punyai mandat untuk menjayakan kepentingan rakyat.
“Ini yang akan kita teruskan, Umno tidak kuat jadi kita kena lawan,” kata Ketua Umum PKR ini.
Beliau juga menggesa supaya kepimpinan kerajaan negeri Selangor, diketuai Tan Sri Khalid Ibrahim supaya “menyerang” dengan agresif serangan dibawa Umno-Barisan Nasional (BN).
“Selangor dianggap mutiara bagi Umno, sudah ada kuasa pusat tapi masih resah. Mereka fikir macam-macam nak rampas seperti kes terbaru (isu SUK), ia adalah drama.
“Kita kena pertahankan Selangor dan pastikan pentadbiran berjalan dengan baik, kuasa ada di tangan kita.
“Kita juga kena lawan, serang semula Umno... kenapa mesti bertahan? Pendirian Pakatan Rakyat adalah pertahankan Perlembagaan (Persekutuan), tak perlu kita jelaskan kepada Umno,” katanya.
“Kalau Umno halang, jangan bertahan... kita serang. SUK bukan masalah,” kata Anwar yang bulan lalu digantung selama enam bulan daripada menghadiri Parlimen.
Beliau turut menyifatkan Umno-BN sudah “tiada keyakinan” sehingga terpaksa mengadakan pertemuan dengan dengan semua ahli Parlimen gabungan 13 parti komponen itu.
Sejak Datuk Mohd Khusrin Munawi diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid tidak bersetuju dengan pelantikan itu yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Malah Khalid juga berkata, satu sidang Dewan Undangan Negeri khas akan diadakan hujung bulan ini untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Dengan meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri akan dikembalikan kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang khas itu.
Khusrin yang juga bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri minggu lalu.
No comments:
Post a Comment