Monday, November 25, 2013

Adakah 2 kem tentera digadai RM465 juta?

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta penjelasan Kementerian Pertahanan berhubung status kem tentera di Tebrau dan Plentong, Johor.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah kedua-dua kem itu telah digadai kepada Malaysian Buildings Society Sdn Bhd (MBSB) dengan harga RM465 juta.

Menurut Mahfuz, projek yang pada asalnya bernilai RM256 juta itu tidak berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, projek itu bermula pada tahun 2002 tetapi malangnya laporan audit 2012 mendedahkan perkembangan projek di bawah syarikat KCSB Konsortium Sdn Bhd hanya 18 peratus siap.

"Kalau ikut laporan audit, kerajaan mesti tamatkan segera syarikat ini. Adakah kerajaan sudah tamatkan syarikat ini sedangkan tanah kem sudah tergadai?

"Inilah pengkhianatan dan penderhakaan sebenar kepada negara.

"Kita cakap pasal nak bela kebajikan tentera tetapi kita khianati tentera," katanya sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan di bawah Kementerian Pertahanan.

Beliau menambah, KCSB mendapat untung dengan mudah walaupun projek yang diberikan belum siap sepenuhnya.

"Saya minta penjelasan bagaimana kontraktor ini dipilih.

"Ini bukan pondok durian boleh digadai sesuka hati tapi ini tempat duduk tentera, anak dan keluarga mereka yang mesti dijaga kebajikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment