Monday, November 25, 2013

Wala' dan thiqah kepada kepimpinan baru

Ahli PAS diingatkan agar tidak terperangkap dalam kitaran yang dicipta media musuh dan membawa pemikiran yang cuba diterapkan mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, kepimpinan parti sangat berhati-hati apabila berhadapan dengan media arus perdana dan meminta ahli juga tidak sewenang-wenangnya mempercayai laporan mereka berkaitan PAS.

"Ada pandangan dari perwakilan tentang kenyataan pimpinan. Kita tegaskan bahawa kita banyak siri perbincangan apa yang berlaku dan harus kita fahami bahawa sumber yang perlu kita rujuk ialah sumber rasmi parti, bukan merujuk kepada sumber lain.

"Ada di kalangan kita yang marah pada pimpinan berapi-api, dengan berkata, bukankah kita sudah beritahu jangan beri kenyataan kepada Utusan Malaysia. Ini lidah Umno kenapa pimpinan buat juga kenyataan keluar suratkhabar dalam Utusan Malaysia muka depan, keluar TV3.

"Saya tanya dia, pak cik baca di mana? Dia jawab, ini Utusan Malaysia sebut. Rupa-rupanya dia yang percaya Utusan malaysia. Pimpinan kita tak buat kenyataan kepada media musuh tetapi kenapa kita percaya kepada media musuh?

"Kita harus akui media perdana berjaya membentuk pemikiran rakyat, membentuk pusingan yang paling bahaya apabila. Apabila kita termasuk dalam kitaran tersebut lalu kita bercakap dengan suara yang disebut media musuh dan kita bawa dalam pemikiran kita.

"Saya harap muktamar kita ini marilah kita tutup semua label yang diberi oleh musuh kepada kita. Biduk berlalu kiambang bertaut," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar PAS Ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

Bekas Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga mengingatkan bahawa sumber rasmi parti ialah akhbar Harakah dan portal Harakahdaily yang harus dijadikan rujukan pimpinan dan ahli PAS.

"Saya jelaskan bahawa media rasmi PAS ialah Harakah dan Harakahdaily dan kita telah berjaya buat peningkatan dalam Facebook Harakahdaily.

"Mungkin sebahagian tak menyedari dalam masa 2 tahun setengah follower Harakahdaily daripada 40,000 meningkat kepada 424,141 satu peningkatan yang luar biasa," katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli agar menerima keputusan perwakilan yang memilih pimpinan baru bagi sesi 2013-2015 dan perlu memberikan kerjasama kepada pimpinan baru.

"Kita telah buat keputusan, kita kena wala' kepada keputusan perwakilan. Suka atau tidak suka, terima atau tidak terima setelah keputusan dibuat mari kita taat kepada pimpinan kita dan thiqah kepada pimpinan yang ada," ujarnya.

No comments:

Post a Comment