Monday, November 25, 2013

Salahuddin, Tuan Ibrahim dan Husam terasa ketiadaan Mahfuz

Ketiga-tiga Naib Presiden PAS sesi 2013-2015 yang dipilih pada Muktamar Tahunan ke-59 yang berakhir semalam tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dengan kegagalan Datuk Mahfuz Omar mempertahankan jawatan itu.

Hasrat Mahfuz yang dicalonkan semula untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar kali ini tidak kesampaian apabila meraih 504 undi berbanding Salahuddin Ayub yang memperolehi 917 undi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (849) dan Datuk Husam Musa (520). Seorang lagi calon, Datuk Abu Bakar Chik mengutip 364 undi.

Salahuddin, Tuan Ibrahim dan Husam meluahkan perasaan itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ucapan dasar semalam.

Bagi Tuan Ibrahim, beliau merasa sedih dengan kemenangannya yang menyebabkan Mahfuz terlepas jawatan.

 "Saya sedih di atas kemenangan saya kerana seorang Naib Presiden (Mahfuz) terpaksa melepaskan jawatan itu kepada saya," ujarnya yang juga Ketua Pnenerangan PAS Pusat sesi lepas.

Begitupun, beliau yang pernah diamanahkan sebagai Naib Presiden PAS pada sesi 2009-2011 menganggap para perwakilan meletakkan gandingan yang dipilih kali ini daripada kalangan aktivis, ulama dan profesional.

Namun, beliau menegaskan, tanggungjawab pendukung PAS adalah untuk memperkemaskan dan memantapkan jentera parti dalam semua sudut untuk melihat ke depan iaitu cabaran besar Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Husam pula melihat Mahfuz yang ‘tergelincir’ mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS sebagai seorang yang banyak idea.

Berbeza pula dengan Mahfuz yang tidak berasa kecewa dengan kegagalan mempertahankan jawatan kerana sudah bersedia dengan jangkaan tewas pada pemilihan kali ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau menyiapkan ritual kepada dirinya kalah dalam pertandingan sama ada dalam pilihan raya mahupun parti.

No comments:

Post a Comment