Monday, November 25, 2013

Semuanya molek, tiada yang luah berbaik dengan Umno

Ahli-ahli PAS perlu menerima keputusan pemilihan yang telah dibuat sewaktu Muktamar Tahunan ke-59 di Shah Alam yang berakhir semalam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik, berkata ahli PAS perlu memberi peluang kepada saf kepimpinan yang baru itu menjalakan tugas mereka dalam tempoh dua tahun ini.

“Kewajiban ahli untuk menerima keputusan. Jangan sesekali apabila setelah keputusan dibuat, ada pihak mengada-adakan kumpulan-kumpulan dalam parti.

“Cuma perhati kepimpinan yang baru ini dalam masa dua tahun. Jika ada kesilapan kita tegur,” katanya kepada Harakahdaily ketika di temui di pejabatnya tengah hari tadi.

Kata beliau, sekiranya ada ahli PAS yang ingin menegur kepimpinan, mereka hendaklah menggunakan saluran yang betul.

“Nak tegur jangan tegur terbuka. Itu bukan orang tak panggil tegur. Itu orang panggil mengumpat. Tegur sewaktu dalam mesyuarat,” tegasnya.

Tuan Guru juga menyampaikan rasa gembira dengan perjalanan muktamar kali ini.

“Alhamdulillah, apa yang saya tengok semuanya teratur molek. Yang paling utama sepanjang muktamar kali ini tiada seorang pun perwakilan meluahkan cadangan untuk berbaik semula dengan Umno,” ujarnya.

“Ini satu perkembangan yang baik bahawa penyokong-penyokong PAS tidak terfikir dah untuk berbaik dengan Umno,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai senarai kepimpinan PAS yang terbaru, Tuan Guru berkata, saf kepimpinan ini adalah amat bertepatan dengan slogan PAS Untuk Semua.

“Pelbagai latar belakang kepimpinan PAS menunjukan memang tepat dengan slogan PAS Untuk Semua,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment