Monday, November 25, 2013

Jambatan Melaka-Sumatera cuma angan-angan

Kerajaan negeri Melaka tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan melintasi Selat Melaka menghubungkan Melaka dan Sumatera.
   
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron bagaimanapun berkata pada masa ini kerajaan negeri Melaka tidak mempunyai peruntukan dan perancangan khas untuk projek berkenaan.
   
"Kami tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku dan boleh berlaku.

"Kami dapat bayangkan kalau berlaku, ia dapat mempercepatkan peningkatan sektor ekonomi, pelancongan, perdagangan dua hala dan pengangkutan kedua-dua negara," katanya menjawab soalan Goh Leong San (DAP-Duyong) mengenai cadangan kerajaan membina jambatan berkenaan.
   
Idris berkata isu pembinaan jambatan bernilai RM44 bilion itu dibangkitkan beberapa kali sejak 1996 sekali gus menunjukkan seolah-olah terdapat usaha untuk menjadikan pembinaan jambatan itu satu realiti.

Namun katanya pelbagai faktor termasuk kesan alam sekitar, laluan kapal dan bilangan kenderaan yang bakal menggunakan jambatan itu perlu dianalisa dan dikaji terlebih dahulu sebelum projek berkenaan dilaksanakan.
   
Menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) mengenai pendirian kerajaan Indonesia berhubung pembinaan jambatan itu, Idris berkata tiada perbincangan serius antara kerajaan dilakukan pada masa ini.
   
"Memandangkan ia masih di peringkat kemungkinan, tiada perbincangan serius tetapi di peringkat badan bukan kerajaan kedua-dua negara, mereka mengharap ia akan berlaku," katanya.
   
Cadangan pembinaan jambatan antara kedua-dua negara mula dibangkitkan pada 1996 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau bertemu Presiden Indonesia Soeharto, di Kuala Lumpur.
   
Cadangan itu bagaimanapun terhalang oleh krisis ekonomi serantau dan kemudian oleh masalah persekitaran.
   
Projek itu akan melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 48.7km dari Teluk Gong di Melaka ke Pulau Rupat di Indonesia dengan tambahan lebuh raya sepanjang 71.2km dari Rupat, iaitu penghujung jambatan itu ke Dumai. - Bernama

No comments:

Post a Comment