Monday, November 25, 2013

Malindo Air digesa sambung semula penerbangan ke Miri

 PAS Sarawak menggesa Malindo Air menyambung semula penerbangan ke Miri agar ianya memberi kemudahan kepada penumpang untuk memilih penerbangan yang murah serta memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Di samping itu, kata Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee nasib pekerja Malindo Air yang telah dipindahkan juga boleh balik semula dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang yang ingin melancong ke dalam dan luar negara dengan tambang murah yang berpatutan.

“Lebih banyak syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah, maka lebih banyak pilihan untuk penumpang memilih yang perkhidmatan terbaik untuk mereka,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Malindo Air yang menggantung sementara penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri sehingga kini masih belum lagi menyambung semula penerbangannya ke Miri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy dalam akhbar tempatan beberapa bulan yang lalu berkata: "Kami hanya melakukan penjadualan sementara dan penstrukturan semula perkhidmatan kami. Kami tidak menggantung laluan selama-lamanya tetapi hanya (sementara) mulai 1 – 15 Nov. Mudah-mudahan menjelang 15 Nov, kita boleh meneruskan perkhidmatan kami ke Miri”.

Sehingga kini janji pihak Malindo Air untuk menyambung semula penerbangan ke Miri masih dinanti-nantikan oleh orang ramai yang ingin menggunakan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Miri masih tidak kesampaian.

Alasan pihak Malindo Air kerana kurang penumpang adalah alasan yang tidak begitu realistik sebab Miri merupakan pusat atau bandaraya peranginan yang menerima kunjungan pelancong yang ramai dari dalam dan luar negara. 


Masalahnya bukan kurang penumpang tapi mungkin pihak Malindo Air kurang promosi untuk menarik penumpang dan tidak ada kemudahan untuk menarik penumpang menaiki pesawatnya.

Kementerian Pelancongan Sarawak menyasarkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 12 peratus bagi tahun 2014 berbanding 4.1 hingga 4.2 juta tahun ini.

Bagi menampung bilangan pelancong yang semakin meningkat, kementerian pelancongan akan berusaha menambahkan bilangan pesawat  dan terbaharu pada 7 Disember depan sebuah pesawat AirAsia baharu akan memulakan penerbangan bagi laluan dari Miri ke Manila.

Sepatutnya Malindo Air menggunakan kesempatan promosi Tahun Melawat Sarawak 2014 sebagai peluang meningkatkan penerbangannya ke seluruh Sarawak terutama Miri.

Lapangan terbang Miri juga akan dinaiktarafkan sebagaimana dalam bajet 2014, ini adalah peluang yang lebih luas untuk syarikat penerbangan mempromosi dan menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk mencapai sasaran peningkatan pelancong ke Sarawak.

Kita menggesa pihak pengurusan Malindo Air dapat menyambung semula penerbangannya ke Miri Sarawak agar ianya memberi kemudahan kepada penumpang untuk memilih penerbangan yang murah serta memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Di samping itu, nasib pekerja Malindo Air yang telah dipindahkan juga boleh balik semula dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penumpang yang ingin melancong ke dalam dan luar negara dengan tambang murah yang berpatutan.

Lebih banyak syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah, maka lebih banyak pilihan untuk penumpang memilih yang perkhidmatan terbaik untuk mereka.

No comments:

Post a Comment