Monday, November 25, 2013

Pulau Pinang terus martabatkan Islam

Timbalan Ketua Menteri, Dato' Abdul Rashid Hasnon membidas tuduhan segelintir badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno di negeri ini yang mendakwa kononnya Islam tersisih di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Berucap merasmikan Karnival Cinta Masjid anjuran Masjid Jamek Al Jalal Pajak Song, dekat sini, baru-baru ini, beliau berkata perhatian yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat negeri berhubung hal ehwal Islam jauh lebih baik berbanding era pentadbiran BN.

"Kerajaan Pakatan Rakyat tidak sedikit pun meminggirkan agama Islam seperti mana didakwa.  Sebaliknya memberikan kebebasan dan menambahkan lagi peruntukan terhadap Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), " ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, berkata di bawah pentadbiran BN, peruntukan tahunan yang diberikan kepada MAINPP adalah di bawah paras RM20 juta berbanding di era pentadbiran Pakatan Rakyat.

Malah peruntukan kepada MAINPP, ujarnya ditambah saban tahun dan kini telah mencecah RM60 juta.

Abdul Rashid juga berkata, masjid-masjid di negeri ini juga bertambah makmur dengan kuliah-kuliah agama berbanding di era pentadbiran BN yang mengenakan pelbagai syarat kepada penceramah agama.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Al Jalal Pajak Song, Ustaz Ahmad Subki Abdul Latif ketika ditemui berpuas hati dengan sambutan anak muda terhadap program Karnival Cinta Masjid itu.

Sokongan padu  masyarakat tempatan, ujarnya memberikan semangat kepada Jawatankuasa Masjid untuk terus melaksanakan program kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment