Sunday, March 2, 2014

Denggi: 38 kematian direkod sepanjang Jan-Feb

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata bagi tempoh itu sebanyak 18,047 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 4,250 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan peningkatan itu antara lain berpunca kurang kerjasama dalam memastikan kawasan bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, sikap menyerahkan tanggungjawab membersihkan sesuatu kawasan kepada pihak tertentu atau menyalahkan antara satu sama lain disebabkan peningkatan kes denggi, tidak akan menyelesaikan masalah itu.

"Kita perlukan kerjasama dalam isu ini, buat semburan sahaja tak boleh selesaikan masalah ini. Semua pihak kena faham tanggungjawab masing-masing," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program gotong royong "Jom Hapus-Tempat Pembiakan Aedes" di Taman Desa Jenaris Kajang, di sini Ahad.

Beliau berkata denggi yang menjadi kebimbangan utama ketika ini, hanya dapat dikurangkan melalui kerjasama semua pihak dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dr Subramaniam juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan pemungutan sisa pepejal dilakukan mengikut jadual selain memastikan infrastruktur seperti longkang bersih dan tiada tempat takungan air yang membolehkan pembiakan nyamuk aedes berleluasa.

Menurutnya, peningkatan wabak denggi dengan angka kematian tinggi turut mempunyai kaitan dengan perubahan serotaip dominan iaitu daripada serotaip virus den 4 kepada den 2.

Jelasnya, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi yang dilaporkan kerana serotaip DEN-2 dikaitkan dengan manifestasi klinikal yang lebih teruk.

Katanya sehingga bulan lalu, sebanyak 2,670 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku atau lebih dikenali COMBI telah diadakan di seluruh negara yang dianggotai 53,806 sukarelawan untuk mengurangkan wabak denggi.

Konsep diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkah laku manusia turut digunakan bagi mencegah dan mengawal denggi, katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata selain di Kajang, gotong royong membersihkan kawasan turut dilakukan serentak hari ini di sembilan lagi kawasan daripada 110 kawasan panas denggi di seluruh negara.

Sembilan lokasi panas itu ialah Taman Meru Indah Klang; Taman Batu Gajah Perdana, Perak; Taman Seri Impian, Seberang Perai; Taman Desa Cempaka Fasa 2, Nilai; PPR Desa Rejang, Titiwangsa Kuala Lumpur; Taman Johor Jaya, Johor; Taman Desa Baru, Melaka; Taman Sempelang Sembulan, Kota Kinabalu dan Taman Tasik Indah (Jln Tasik Indah 1/7) Kuala Lumpur. -

No comments:

Post a Comment