Sunday, March 2, 2014

Khalid tidak akan utamakan diri lebih daripada parti

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap meletakkan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai keutamaan berbanding pertandingan peringkat parti yang ditandinginya.

Beliau yang membuat pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR malam tadi, mengingatkan ahli parti supaya terlebih dahulu memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N25 Kajang, kekal di tangan PKR, lapor Selangor Kini.

Bagi Menteri Besar Selangor itu, tiada guna perjuang jawatan parti kalau tidak dapat mempertahankan N25 Kajang.

“Kekalahan bermakna kejatuhan buat parti kita,” tegasnya ketika membuat pengumuman berkenaan di kediaman rasminya yang dihadiri ratusan penyokongnya, malam tadi.

 Justeru, beliau sama sekali tidak akan mengutamakan diri lebih daripada parti.

Beliau berulang kali menegaskan kemenangan PRK Kajang sebagai tumpuan utama, berkata pengukuhan parti jauh lebih penting dari kepentingan mana-mana individu.

Beliau juga mahu PKR terus kukuh dan tidak ketinggalan berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN).

“Jangan heboh sangat pasal pertandingan peringkat parti sampai abaikan PRK Kajang,” katanya.

No comments:

Post a Comment