Sunday, March 2, 2014

M'sia akan pohon kuota haji ditambah

Malaysia akan memohon kepada kerajaan Arab Saudi supaya kota jemaah haji negara ini dinaikkan bagi musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata beliau akan ke Jeddah Rabu ini untuk menghadiri mesyuarat mengenai persiapan musim haji akan datang bersama kerajaan Arab Saudi.

"Saya akan cuba mengemukakan rayuan supaya kuota bagi jemaah Malaysia dapat dinaikkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 kepada 6,000 penerima kawasan Parlimen Jerai, di sini Sabtu.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota haji untuk jemaah Malaysia kepada 22,000 orang berikutan proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan sekitar Masjidil Haram di kota suci Makkah.

"Kita faham mereka terpaksa menetapkan kuota jemaah...tetapi kerajaan akan terus memoho
n dan merayu untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 dengan Arab Saudi bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini," katanya.

Mengenai kos menunaikan ibadah haji pada tahun ini, Jamil Khir berkata kadar itu kekal RM9,980 walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM16,115 seorang berbanding RM15,575 tahun lalu.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan kos, kerajaan mengambil langkah untuk tidak menaikan kos sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.

"Setiap tahun akan ada kos tambahan melibatkan tempat penginapan, pengangkutan, penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Arab Saudi dan kos mutawif tapi harga masih dikekalkan demi membantu jemaah haji.

"Walaupun kos rendah, kita pastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik. Kita mahu kekalkan nilai perkhidmatan dan kualiti kepada jemaah haji Malaysia," katanya. -

No comments:

Post a Comment