Sunday, March 2, 2014

Perjanjian air Selangor - Putrajaya, apa faedah kepada anda?

Penduduk Taman Desa Cheras beratur mengambil air daripada lori tangki Syabas, malam tadi, berikutan Lembah Klang berdepan krisis air. Selangor melanjutkan tempoh catuan air susulan daripada masalah kekurangan air yang semakin teruk. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Mac, 2014.

Adakah memorandum persefahaman (MoU) bagi penstrukturan semula industri air di Selangor yang mencapai kata sepakat antara Putrajaya dan Shah Alam minggu lalu memberi faedah terbaik kepada rakyat?

MoU itu dijangka mampu mengubah lanskap penswastaan industri air di negeri terkaya dan berpopulasi tinggi di Malaysia itu, dan dilihat penting apabila kerajaan negeri Selangor diberi kuasa mengurus air dari sungai dan empangan di negeri mereka sendiri, sebelum dirawat untuk disalurkan kepada 7 juta pengguna.
MoU itu turut memberi kuasa mengatur jumlah yang perlu dibayar pengguna, dan sama ada pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu boleh diteruskan atau tidak.
Semua ini ditukar dengan lampu hijau oleh kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan untuk projek mega loji rawatan air Langat 2 yang bernilai bilion ringgit.
Dengan pelbagai spekulasi berhubung loji yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan itu, ramai bertanya apakah faedah kepada rakyat Selangor?
Mengimbas masa lalu
Perjanjian adalah satu perdagangan. Kerajaan negeri Selangor mahukan penstrukturan semula air dan kerajaan persekutuan mahu Langat 2 disiapkan.
Dalam satu temubual bersama akhbar milik MCA, The Star yang disiarkan semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perjanjian itu memastikan Putrajaya membantu Selangor dalan usaha mengambil alih pengurusan industri air yang kini dipegang oleh empat syarikat.
Empat syarikat itu ialah  Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).
Mengikut beberapa kontrak penswastaan pada 1997, syarikat ini diberi kuasa mengurus rawatan air dan pengagihannya di Selangor.
Seorang bekas pegawai kerajaan negeri yang arif mengenai kontrak itu berkata, MoU berkenaan membolehkan syarikat berkenaan menetapkan harga air kepada pengguna dan menetapkan keuntungan daripada jualan yang dibuat.
Apabila Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Selangor pada 2008, kerajaan negeri mendapati syarikat berkenaan tidak memainkan peranan sewajarnya, sebaliknya mahu menaikkan harga air.
Di bawah kontrak penswastaan lalu bersama Syabas, kadar air negeri perlu dinaikkan setiap tiga tahun.
Sejak 2009 hingga 2012, kadar itu meningkat di antara 25% dan 37%, atau daripada RM11 bagi setiap 20 meter padu pada 2008, kepada RM18.80 pada 2012.
“Selangor tidak membenarkan Syabas menaikkannya kerana mereka tidak memenuhi kontrak bagi menurunkan harga 'non revenue water' (NRW) kepada 20 sen," kata pegawai yang enggan namanya didedahkan.
NRW adalah air terawat yang hilang semasa penghantaran dari loji kepada pengguna sama ada dicuri atau kebocoran paip. Jumlahnya sekarang berada pada paras 34%, dalam kata lain, bagi setiap 100 unit air terawat di Selangor, 34 unit tidak sampai kepada pengguna.
Pada masa sama, kerajaan Selangor ditekan Putrajaya bagi meluluskan projek Langat 2 yang menelan belanja RM3.8 bilion.
Persatuan Air Malaysia (PAM) berkata, kos pembinaan Langat 2 sebenarnya akan dikembalikan kepada Selangor.
"Melihat situasi yang berlaku, PR di Selangor berpandangan bagi memenuhi janji urus tadbir yang baik, mereka perlu mendapatkan semula kuasa daripada syarikat swasta melalui penstrukturan semula," kata bekas pegawai itu.
Kemampuan dan kecekapan
Antara kandungan manifesto PR pada Pilihan Raya Umum 2013 ialah menyediakan air terawat pada kadar berpatutan.
Di bawah perjanjian penstrukturan semula, Selangor menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat berdasarkan penilaian terhadap aset mereka, dan diberikan masa sehingga 10 Mac untuk menerimanya.
Khalid berkata, perjanjian itu akan memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan mendesak syarikat berkenaan menerima tawaran berkenaan.
Perjanjian itu turut menyatakan kerajaan persekutuan memberi Selangor RM2 bilion bagi membantu pengambil alihan ekuiti daripada empat syarikat berkenaan dan sebagai balasan, Selangor mengembalikan aset pada nilai sama.
Dengan mengambil alih keseluruhan sistem, loji rawatan, sistem saliran dan kemudahan lain dapat dikawal secara keseluruhan oleh kerajaan Selangor bermula daripada perbekalan sehingga jumlah yang perlu dibayar oleh pengguna.
Pengurusan air akan diletak di bawah syarikat milik kerajaan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad.
Setiausaha kehormat PAM, Mohamad Asari Daud, berkata melalui cara ini, empat syarikat tidak diperlukan untuk menjana keuntungan besar daripada air.
"Dalam perjanjian yang lalu, mereka perlu menaikkan tarif sejak tiga tahun.
"Kini satu kerajaan yang memiliki entiti akan bertanggungjawab dan tidak berdasarkan keuntungan,” kata Asari, yang merupakan jurutera air daerah.
Khalid berkata, sebarang kenaikan tarif selepas perjanjian dibuat menyaksikan 12% ke 16% lebih rendah berbanding perjanjian lama.
"Bila kita membuat untung, sebahagian wang itu disalurkan untuk meneruskan program air percuma," katanya.
Bekalan berterusan
Pada masa sama, Langat 2 akan diteruskan dan wakil kerajaan negeri perlu ada dalam jawatankuasa yang merancang pembangunannya, seperti terkandung dalam MoU.
"Pertimbangan kami selalu mengutamakan nilai terhadap wang dengan teknologi terbaik. Kami berhasrat untuk memenuhi janji.
"Kami akan memantau setiap langkah projek sehingga ke akhirnya," kata Khalid.
Sumber industri yang terbabit dalam projek Langat 2 berkata, proses tender terbuka telus dan tiada percanggahan dalam kosnya.
Langat 2 yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan menyediakan 1,130 juta liter air terawat setiap hari.
Apabila projek itu siap kelak dan kos pembinaannya diserahkan kepada Selangor, kerajaan negeri akan menyerahkannya kepada pengguna dalam bentuk peningkatan tarif.
Dengan mengawal industri air secara teorinya membolehkan peningkatan tarif diminimakan, menurut sumber kerajaan negeri Selangor.
Manakala dengan mengawal industri air, kadar NRW juga dapat dikurangkan dan lebih banyak air terawat dapat diagihkan kepada pengguna.
Khalid mensasarkan pengurangan NRW daripada 34% kepada 20%.
Ahli PAM, Mansor Abdul Ghani, berkata pengurangan itu bersamaan 600 juta liter lebihan air sehari.

No comments:

Post a Comment