Sunday, March 2, 2014

MB: Prospektus saham air diterbit lepas 6 bulan penstrukturan berjaya


Prospektus saham industri air Selangor dijangka diterbitkan dalam jangka masa enam bulan hingga setahun selepas penstrukturan industri air berjaya dimuktamadkan.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata masa itu diperlukan bagi memberi laluan kepada proses pengambil alihan, penyusunan semula organisasi dan lain-lain kajian dijalankan sebelum Kerajaan Negeri memutuskan harga saham yang akan ditawarkan kepada rakyat.

“Selepas enam bulan hingga setahun penyusunan semula barulah kita boleh keluarkan prospektus untuk pembelian saham.
“Pembeli saham tidak akan berminat nak beli kertas saham sekiranya mereka tak tahu bagaimana pulangannya, asetnya dan sebagainya,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perhimpunan Perdana JMB/MC dan Anugerah K-Star Pangsapuri Selangor di Dewan Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di Bandar Seri Putra di sini, hari ini.

Sebelum sesebuah syarikat menerbitkan saham awam dengan kelulusan Bursa Saham Malaysia dikehendaki mengeluarkan prospektus atau tawaran awam terlebih dahulu.
Ia bertujuan selain memenuhi prosedur bagi membolehkan orang awam berminat membeli saham mengetahui kedudukan kewangan, aktiviti perniagaan, pegangan aset dan pulangan dari pelaburan yang akan dibuat mereka.

Abdul Khalid turut memberi jaminan Kerajaan Negeri tidak akan membayar lebih daripada harga RM9.65 bilion yang ditawarkan bagi pengambilalihan empat syarikat-syarikat konsesi pengurusan air negeri itu.

Kata Abdul Khalid, RM9.65 bilion ditawarkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) merupakan nilai optima sekaligus mengelakkan kerugian wang pembayar cukai negeri itu.

“Kita tidak akan biarkan harga tinggi, kalau tidak pihak konsesi akan dapat untung lebih tetapi rakyat Selangor tidak mahu bayar lebih.

“Kalau dia minta harga lebih saya akan lawan dengan tawaran permulaan RM5 bilion bukan RM9.65 bilion. Rakyat Selangor juga minta saya bawa ke mahkamah jika nak minta lebih.

“Kalau mahkamah minta saya bayar kurang RM9.65 bilion saya akan bayar RM9.65 bilion juga kerana kita sudah janji. Kata-kata kita adalah suatu jaminan,” kata Abdul Khalid lagi

No comments:

Post a Comment