Sunday, March 2, 2014

Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim


Pemikir dan penulis kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kegemparan dengan kemunculan semula mengkritik hadis di Seminar Pemikiran Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim sejak Rabu lalu kerana kesukaran bernafas.

Rombongan media MySuara yang sepatutnya menemubual beliau secara eksklusif semalam di rumahnya dimaklumkan oleh isterinya, Sharifah Fawziah bahawa beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan dan ditahan wad.

"Dia agak penat kerana selepas seminar tempoh hari, ramai orang datang ke rumah dan menerima banyak panggilan telefon. Anak kami mungkin akan membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," jelasnya sambil membawa kami meninjau bilik pejabat Dr Kassim di dalam rumah mereka..

Di bilik bacaan dan penulisan itulah Dr Kassim menghabiskan masa emasnya dalam usia 80 tahun untuk menghasilkan tiga karyanya iaitu Mencari Jalan Pulang, Islamic Renaissance dan Jalan Yang Lurus.

Masing-masing diterbitkan ZI Publications, Brainbowpress dan Pekan Ilmu.

Dr Kassim sebelum ini menyewa di Tanjung Bunga, Pulau Pinang sebelum berpindah ke rumah baru yang dibelikan anaknya Shauqi Kassim di Kulim pada 2006.

MySuara kemudian menziarahi beliau di Hospital Kulim ketika waktu melawat sebelah petang.

Dr Kassim kelihatan sedang berehat dengan dibekalkan tiub oksigen untuk membantu penafasannya.

"Pagi tadi saya sudah pesan roti canai tetapi sampai lewat dan saya sudah minum pagi. Selera makan saya baik walaupun sudah tua. Nasinya sedap cuma lauk ikannya tidak berapa sangat," jelasnya yang sedang menikmati makan tengahari.

"Saya boleh berdialog lagi 3 jam," seloroh Dr Kassim dalam suara perlahan, serak dan batuk ringan.

Dalam pertemuan ringkas selama 30 minit itu,  Dr Kassim sempat menerangkan pandangannya dan menjawab soalan-soalan tambahan dengan bersemangat.

Penampilan Dr Kassim seperti pesakit lain menyebabkan kelibatnya di Hospital Kulim tidak disedari.

Malah sepanjang temubual berlangsung beberapa orang doktor yang lalu lalang teruja apabila melihat buku Jalan Yang Lurus dan mengetahui pesakit mereka adalah penulis buku tersebut.-mysuara

No comments:

Post a Comment