Sunday, March 2, 2014

Strok haba: Ubah aktiviti sukan pelajar ke waktu pagi

Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah digesa mengambil perhatian serius terhadap tanda awal 'strok haba' ekoran cuaca panas ketika ini.

Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaa Normala Sudirman berkata, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan pelajar dan guru ketika mengikuti aktiviti sukan sekolah atau kegiatan ko-kurikulum di padang sekolah atau ditempat terbuka pada waktu tengahari atau petang.

Beliau mencadangkan agar aktiviti ko-kurikulum, sukan sekolah atau sukan merentas desa diadakan pada waktu pagi dengan anjakan jadual yang fleksibel mengikut kesesuaian sekolah.

Ini adalah kerana mengambilkira keadaan cuaca yang terlalu panas terutama ketika jam 2 petang dan keadaan keselesaan pelajar serta guru muslimah yang bertudung di tengah matahari terik di padang sekolah.

" Kami menerima aduan warga pendidik yang meminta situasi ini dipanjangkan ke peringkat atasan agar diambil perhatian kerana atas faktor cuaca yang terlalu panas terutama ketika jam 2 petang."

"Saya sedar, ada sesetengah sekolah yang mensyaratkan aktiviti haruslah bermula petang dengan harapan tidak menganggu tumpuan pembelajaran dan pengajaran pelajar, tetapi ianya boleh dilakukan dengan pertimbangan anjakan jadual yang fleksibel oleh pengetua sekolah dan kebenaran daripada PPD dan JPN setiap negeri masing-masing," kata beliau.

Beliau merujuk aduan yang diterima dari Negeri Melaka yang mengadakan Sukan MSSM yang bermula jam 2 petang menyebabkan pelajar dan guru wanita yang bertudung tidak selesa  akibat cuaca panas.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu , definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius.

Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celcius.

Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Beliau juga menasihatkan agar orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari.

No comments:

Post a Comment