Sunday, March 2, 2014

Jadilah manusia biasa yang luarbiasa

Dalam usaha memantapkan kepimpinan pemuda PAS di seluruh Malaysia, Akademi Kepimpinan Pemuda Dewan Pemuda PAS mengadakan Seminar Pembangunan Pemimpin Pemuda. Program kepimpinan yang berlangsung di seluruh negara itu dipecahkan mengikut zon.

Zon tengah yang meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perak berlangsung di PPAS Shah Alam dan dihadiri seramai 76 orang peserta yang terdiri daripada kepimpinan pemuda negeri dan kawasan, unit Amal dan Pasti.

Sepanjang program tersebut, peserta berpeluang menimba pengalaman daripada penceramah jemputan yang terdiri daripada pelbagai latar seperti tokoh korporat, pakar motivasi dan sebagainya.

Ir Mohd Khairil Nizam Khirudin, Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap pengerusi program turut berkongsi pengalaman beliau dan memberikan kata-kata semangat.

“Jadilah manusia biasa yang luarbiasa. Manusia yang luarbiasa ialah yang bekerja atau bertindak secara luarbiasa dan melaksanakan jihad. Salah satu syarat untuk menjadi manusia yang luar biasa seseorang itu mesti banyak membaca,” ujar Ir Khairil Nizam.

Beliau menyebut dua tokoh yang disifatkannya sebagai pemimpin organissai yang cemerlang tetapi kurang dikenali umum iaitu Raja Tun Mohar Raja Badiozaman dan Tan Sri Mohd Hassan Marican. Mereka berdua disifatkan mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang wajar diteladani.

“Saya percaya, pengalaman dan ilmu yang tuan-tuan dapat ketika program ini dapat digunakan dan dimanafaatkan apabila kembali ke kawasan masing-masing.” Ujar Ir Khairil lagi.

Selain itu antara tokoh lain yang turut dijadikan contoh ialah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Hadi Awang.

Tokoh antarabangsa pula yang dijadikan bahan contoh ialah Umar Mokhtar, Martin Luther King dan Mahatma Ghandi.

Kesemua tokoh tersebut mempunyai ciri-ciri kempimpinan yang dapat dijadikan teladan bagi pemuda untuk dicontohi.

Selain mendengar dan berkongsi pengalaman dengan tokoh-tokoh jemputan, peserta juga didedahkan dengan aktiviti pada sesi petangnya. Dalam aktiviti tersebut segala ilmu yang diperoleh daripada sesi pagi diaplikasikan dalam aktiviti tersebut.

Peserta dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan membentangkan kembali dapatan mereka untuk dibincangkan dan dibahaskan.

No comments:

Post a Comment